Gema Semua Maklumat

Qatar tak akan serah Qaradawi kepada Mesir

Qatar tak akan serah Qaradawi kepada Mesir

DOHA, 8 Muharram 1439H, Jumaat – Qatar tidak akan mengekstradisi ulama terkenal Yusuf Al-Qaradawi ke Mesir kerana beliau bukan pengganas, sebaliknya adalah lawan politik kepada rejim kudeta El-Sisi.

Menteri Hal Ehwal Luar Qatar, Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani berkata, maklumat yang membawa kepada sesetengah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesir mengatakan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas, tidak bertepatan dengan yang dimiliki Doha.

Qaradawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Muslim Sedunia, dikehendaki pihak berkuasa rejim Mesir yang menuduh beliau adalah anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Katanya, ulama berkenaan tidak akan diekstradisi ke Mesir kerana beliau sudah menjadi rakyat Qatar sejak 1970-an, dan bukannya pengganas, tetapi seteru politik kerajaan El-Sisi serta mempunyai pandangan berbeza.

“Mesir memperoleh maklumat yang berbeza dengan kami. Oleh itu, kami tidak mengkategorikan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.

“Kami menyifatkan mereka sebagai lawan politik. Kami juga menerima semua orang dari seluruh dunia, bukan sahaja Mesir,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Doha tidak membenarkan Ikhwanul Muslimin terbabit dalam mana-mana kegiatan politik di Qatar atau menjadikan negara itu sebagai batu loncatan untuk menganggu-gugat negara mereka.

“Kami tidak menyokong Ikhwanul Muslimin, tetapi membantu rakyat Mesir. Sebab itu, Qatar tidak menarik balik pelaburannya berjumlah AS$20 bilion di Mesir, yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan memperkukuhkan ekonomi negara itu,” katanya.

Ola dan suaminya ditahan secara berasingan sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, keluarga dan peguam anak perempuan Qaradawi, Ola Qaradawi serta suaminya, merayu campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas pasangan itu telah ditahan di Mesir dan dikurung secara bersendirian sejak tiga bulan lalu, tanpa tuduhan yang dikenakan.

Ola, 55, dan Hossam Khalaf, 58, ditahan di penjara berasingan di Kaherah. Pasangan itu ditangkap Jun lalu.

“Kedua-duanya tidak dibenar bertemu keluarga dan peguam dan dikurung dalam bilik gelap, tanpa tilam dan bilik air, 24 jam sehari.

“Kedua-duanya berulang kali menyatakan mereka bukan ahli Ikhwanul Muslimin atau menganggotai mana-mana kumpulan pengganas, tetapi rejim El-Sisi tidak mempedulikannya,” kata peguam dalam surat kepada PBB.

Keluarga Qaradawi melawat Geneva minggu lalu dalam usaha meminta PBB campur tangan dan menjalankan siasatan terhadap seksaan dan penderaan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir. – Agensi

The post Qatar tak akan serah Qaradawi kepada Mesir appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Qatar tak akan serah Qaradawi kepada Mesir
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Qatar tak akan serah Qaradawi kepada Mesir"

Back To Top