MUAR, 19 Zulhijjah 1438H, Ahad – Kewujudan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia melalui kegiatan perdagangan mata wang asing (Forex) sekitar 1990-an hanyalah sekadar percubaan untuk mengaburi mata daripada jenayah sebenar yang dilakukan oleh kerajaan.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rakyat tahu membezakan antara kerugian perdagangan mata wang 30 tahun dahulu, berbanding rompakan khazanah negara yang masih berlaku kini.
“Rakyat sedar semua ini adalah cubaan untuk mengaburi mata dan tindakan terdesak untuk memesong perhatian dari kepincangan yang berlaku dalam kerajaan sekarang.
“Rakyat tentu tahu bezakan antara kaca dan berlian (tapi bukan berlian merah jambu empunya si-pendek dan gemuk itu). Rakyat tahu yang mana makruf, yang mana mungkar,” katanya dalam ucapan si Majlis Ulangtahun PPBM yang pertama, malam tadi.
Terdahulu, beberapa pihak menyifatkan penubuhan RCI mengenai Forex itu sebagai landasan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengekalkan kuasanya, termasuk membalas dendam terhadap Dr Mahathir, yang lantang mengkritik beliau dalam isu penyelewengan dan kehilangan wang 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya.
Malah, selepas Dr Mahathir mula mengkritik pentadbiran negara, barulah Najib mahu supaya kerugian Bank Negara 25 tahun lalu disiasat.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, rakyat bijak untuk memilih antara pemimpin yang sudah mempunyai puluhan tahun pengalaman mentadbir dengan penuh wibawa dan cemerlang, berbanding kleptokrat yang salah guna kuasa untuk kayakan diri, isteri, famili dan kroni.
“Saya yakin rakyat tahu pilih, antara pemimpin kita yang sentiasa mengota janji berbanding penipu dan kaki songlap, yang berbohong mengenai wang 2.6 bilion Ringgit, mengenai 1MDB, mengenai FELDA dan yang akan tipu lagi dengan janji-janji kosong dalam Bajet 2018 nanti.
“Jangan perlekeh kebijaksanaan rakyat untuk memilih pemimpin kita yang mempunyai rekod cemerlang, bukan hanya untuk membina mercu tanda negara tetapi juga membina jatidiri anak bangsa, berbanding penyamun yang merompak kekayaan hasil negara dan mencabuli maruah warga.
“Jika tidak disekat, penyamun itulah yang akan menjadikan rakyat bangsat di bumi sendiri,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Bersatu akan memastikan masalah pencabulan hak dan kecurian harta dalam agensi-agensi kerajaan seperti Felda, Mara, Tabung Haji dan lain-lain lagi tidak akan berlaku di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.
“Kami berjanji kami tidak akan mengkhianati kepercayaan Melayu terhadap PPBM. Inilah masanya. Kali inilah peluang kita untuk tebus maruah bangsa dan mengilap semula nama negara di persada dunia.
“Bukan lagi masanya untuk kita berpeluk tubuh dan menerima seadanya apa yang diperlakukan ke atas kita, ke atas rakyat Malaysia yang suatu ketika dahulu dikagumi dan dihormati dunia,” tegasnya.
The post Rakyat sedar RCI Forex cubaan tutup jenayah berlaku sekarang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Rakyat sedar RCI Forex cubaan tutup jenayah berlaku sekarang
0 Komentar untuk "Rakyat sedar RCI Forex cubaan tutup jenayah berlaku sekarang"