KUALA LUMPUR, 14 Zulhijjah 1438H, Selasa – Tahap kejayaan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini lebih baik daripada kebanyakan negara lain di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, antara kayu ukur kejayaan wanita di negara ini dapat dilihat menerusi pembabitan dan sumbangan mereka dalam sektor ekonomi.
Katanya, kira-kira 700,000 wanita Malaysia berada dalam sektor tenaga kerja yang memberi impak 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Dalam bidang pendidikan pula enrolmen dalam IPTA meningkat daripada 62.5 peratus pada 2011 kepada 64 peratus pada 2015 manakala dalam bidang pengajian peringkat PhD (doktor falsafah) pada 2011 sebanyak 43.1 peratus berbanding 44.8 peratus pada 2013.
“Ini jelas memperlihat kedudukan wanita dalam pendidikan begitu kukuh dan mantap sehingga timbul persoalan ‘what has happened to men’ (apa yang telah terjadi pada lelaki),” katanya dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2017 di sini, Isnin.
Najib berkata, dari segi kepimpinan di dalam sektor awam, terdapat 35 peratus pembabitan wanita dalam pengurusan tertinggi.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan wanita di negara ini adalah berdasarkan merit dan bukannya kerana simpati daripada kerajaan.
Dalam sektor korporat, Perdana Menteri berkata, 16.8 peratus wanita berada dalam pengurusan di syarikat tersenarai awam (PLC).
“Tapi kita nak capai 30 peratus sasaran (wanita dalam pengurusan PLC). Saya dah beri amaran pada tahun depan kita (kerajaan) akan terbitkan (nama syarikat) yang tidak ada wanita dalam lembaga pengarah. Mereka mungkin tidak boleh diberi kontrak kerajaan,” katanya.
Pada sesi dialog yang dikendalikan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Najib turut mendengar aspirasi diutarakan 18 wanita daripada pelbagai latar belakang.
Antara aspirasi berkenaan adalah mahukan kerajaan mempertimbangkan lebih ramai wanita bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri dan mengimpikan pembinaan sebuah bangunan ikonik yang direka arkitek dan dibina jurutera wanita.
Selain itu, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan infrastruktur yang mesra golongan itu, mewujudkan sistem pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas, membantu ibu tunggal menyelesaikan dilema hutang dilakukan bekas suami serta menghantar wanita berkelayakan mengikuti kursus di Harvard Business School untuk mampu mengemudi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – Bernama
The post Tiada lembaga pengarah wanita tiada kontrak, amaran Perdana Menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tiada lembaga pengarah wanita tiada kontrak, amaran Perdana Menteri
0 Komentar untuk "Tiada lembaga pengarah wanita tiada kontrak, amaran Perdana Menteri"