SEREMBAN, 3 Muharram 1439H, Ahad – Menolak penganjuran pesta arak bukan bermakna orang Islam tidak sensitif terhadap permintaan agama lain, sebaliknya ia langkah mengelak perkara lebih buruk berlaku, kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, meskipun sasaran penganjurannya hanya merujuk kepada orang bukan Islam, namun kesan sosialnya turut tempias kepada agama serta bangsa lain.
Kata beliau, dadah sebagai contoh, ia menyebabkan seseorang gian sehingga mendorong kepada perlakuan ekstrem seperti membunuh, sama seperti arak.
“Arak itu memabukkan dan semua mengakui yang kesannya boleh merosakkan akal manusia tidak kira dia Islam atau tidak.
“Memang kita duduk dalam negara yang berbilang kaum, tapi adakah kita perlu berdiam diri apabila ada pihak lain anjurkan program yang tak sesuai dengan agama kita.
“Orang India pun marah bila kita sembelih lembu untuk ibadah korban, tapi itu sudah ada dalam ajaran agama Islam berbeza dengan minum arak yang langsung tiada kaitan dengan agama,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya menghalang penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) atau pesta seumpama itu diadakan di Malaysia.
“Penganjuran ini perlu dibantah oleh semua pihak, lebih-lebih lagi ia bertentangan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.
“Saya bimbang akan timbul perkara lain yang boleh merosakkan masyarakat di mana kita sendiri tahu yang arak itu boleh merosakkan akal manusia. Bagi saya memang tak sesuai dan tak wajar diadakan di sini,” katanya.
BBF17 sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober ini di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur, dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza daripada 43 kilang arak dari seluruh dunia.
0 Komentar untuk "Tolak pesta arak elak perkara buruk berlaku: Mufti Negeri Sembilan"