KOTA BHARU, 29 Zulhijjah 1428H, Rabu – Polis menafikan khabar angin kononnya ibu bapa kesemua suspek utama kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga mengorbankan 23 nyawa Khamis lalu, akan turut didakwa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tiada keperluan bagi pihaknya mendakwa ibu bapa suspek kerana mereka tiada kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, desas-desus berhubung perkara berkenaan hanyalah sekadar spekulasi sahaja, dan ia tidak perlu diperbesarkan.
“Saya fikir ibu bapa tiada kena mengena dalam kes ini. Kita kena buat saranan yang adil dan sewajarnya. Diharap media dan semua pihak tidak buat spekulasi bukan-bukan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sebelum ini, polis menahan tujuh remaja termasuk lima suspek utama bagi membantu siasatan kebakaran pusat tahfiz yang menggemparkan negara minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dalam sidang media khasnya Sabtu lalu berkata, siasatan polis mendapati wujud unsur khianat dengan niat membakar.
Beliau berkata, motif kebakaran berpunca daripada ejek mengejek di antara suspek dengan pelajar tahfiz.
Kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 khianat menggunakan api.
The post Tragedi tahfiz: Tiada keperluan dakwa ibu bapa suspek appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tragedi tahfiz: Tiada keperluan dakwa ibu bapa suspek
0 Komentar untuk "Tragedi tahfiz: Tiada keperluan dakwa ibu bapa suspek"