Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin dan Che Siti Rekembang Hasbi
PUTRAJAYA, 29 Zulhijjah 1438H, Rabu – Lima puluh tujuh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menyerahkan petisyen bantahan kepada Perdana Menteri hari ini untuk membantah cadangan mengembalikan semula penjualan rokok dalam pek kecil (kiddie pack).
Pakar Perunding Perubatan Keluarga (Pengkhususan: Perubatan Ketagihan), Dr Norsiah Ali berkata, petisyen itu telah diserahkan kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri pada jam 11 pagi tadi.
Selain Perdana Menteri, petisyen bantahan itu turut diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara NGO yang terbabit dalam gabungan itu adalah Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan National Cancer Society of Malaysia (NCSM).
Dr Norsiah pada sidang media selepas penyerahan petisyen itu berkata, tindakan mereka bertujuan menyatakan kegusaran gabungan beberapa NGO akan perkembangan pemasaran rokok ‘kiddie pack’ ini.
“Kami semua khuatir, kerana merokok telah dikenal pasti menjadi pintu masuk kepada ketagihan ‘substance’ yang lain. Kita juga menghadapi isu peratusan perokok di Malaysia yang tidak menunjukkan perubahan semenjak 30 tahun lalu. Kita masih tak lihat penurunan, peratusan masih sama, kekal antara 22 hingga 23 peratus.
“Kita sayang anak bangsa kita. Kita tak mahu otak mereka rosak kerana kesan 4,000 bahan kimia beracun yang ada dalam rokok.
“Jadi kami dengan rendah hati memohon pucuk pimpinan negara, mengambil kira permohonan kami semua untuk tidak meluluskan cadangan mewujudkan semula rokok ‘kiddie pack’ ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika kerajaan tidak meluluskan cadangan itu ia akan selaras dengan strategi untuk meminimakan kemudaratan rokok.
“Dalam harm minimization, kita kena ada harm reduction (mengurangkan bahaya), supply reduction (mengurangkan bekalan) dan demand reduction (mengurangkan permintaan. Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan mudah capai daripada golongan kanak-kanak dan remaja.
“Kita harap mana-mana yang telah terjebak menjadi perokok agar menilai kembali kesan perbuatan itu dan meminta bantuan dari golongan professional, tidak professional pun tidak apa janji berusaha berhenti merokok,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras gabungan #bantahkiddipack, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, terdapat 33,700 responden yang telah menandatangani petisyen tersebut secara atas talian.
Rokok ‘kiddie pack’ merupakan istilah yang digunakan untuk pek rokok yang mengandungi kurang daripada 14 atau 20 batang rokok.
Nama lain yang terkini cuba dibawa oleh mereka adalah ‘mini pack’, sebagai ganti bagi pek yang sama dalam usaha untuk mengelirukan masyarakat.
The post Gabungan NGO hantar petisyen bantah rokok pek kecil appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Gabungan NGO hantar petisyen bantah rokok pek kecil
0 Komentar untuk "Gabungan NGO hantar petisyen bantah rokok pek kecil"