GENEVA, 21 Muharram 1439H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengulangi desakannya supaya Myanmar menghentikan keganasan dan kezaliman ke atas etnik minoriti Islam Rohingya di negeri barat Rakhine.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB hari ini menggesa pemimpin de facto negara itu, Aung San Suu Kyi untuk segera mengambil tindakan menghentikan penindasan ke atas Rohingya sehingga menyebabkan setengah juta etnik itu melarikan diri ke negara jiran.
“Permintaan kita terhadap Aung San Suu Kyi pastinya mahu dia menghentikan keganasan itu segera,” kata Pengarah Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Asia Pasifik, Jyoti Sanghera.
Sanghera bercakap demikian dalam taklimat di Geneva untuk membentangkan laporan mengenai kempen ketenteraan rejim Myanmar terhadap populasi minoriti di Rakhine.
Dia turut meluahkan kebimbangannya terhadap nasib pelarian Rohingya yang mungkin dipenjarakan atau ditahan apabila kembali semula ke Myanmar, di mana dinafikan status kewarnegaraan dan hak-hak lain sebagai rakyat Myanmar.
Setakat hari ini, lebih setengah juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, sejak serangan Muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis sehingga mencetuskan tindak balas kejam tentera Myanmar.
Mereka mendakwa tentera Myanmar bersama penduduk etnik Rakhine menyembelih dan membakar banyak perkampungan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan operasi itu sebagai pembersihan etnik, namun tentera Myanmar menyalahkan pemberontak Rohingya. – Agensi
The post PBB ulang desakan gesa Myanmar henti tindas Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PBB ulang desakan gesa Myanmar henti tindas Rohingya
0 Komentar untuk "PBB ulang desakan gesa Myanmar henti tindas Rohingya"