Gema Semua Maklumat

Ateisme bukan satu agama: Timbalan Presiden Isma

Ateisme bukan satu agama: Timbalan Presiden Isma

BANGI, 10 Rabiulawal 1439H, Rabu – Ateisme bukan satu agama kerana penganutnya sendiri tidak percaya kepada agama.

Ateisme menyanggah kewujudan Tuhan dan ia perlu dinilai bukan hanya dari aspek perundangan atau Perlembagaan, tetapi ia perlu dilihat dari aspek maqasid syariah.

Demikian tegas Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya mengulas pendirian seorang anggota Parlimen yang mempertahankan fahaman songsang itu.

Aminuddin berkata, andaian sesetengah pihak yang menganggap Ateisme adalah ‘sebuah agama’ serta berhak mendapat perlindungan adalah amat salah dan merupakan satu interpretasi yang sangat dangkal.

“Mungkin beliau (Ahli Parlimen itu) tidak faham apa itu Ateisme atau sengaja untuk mendapat populariti. Amat malang apabila pihak berkenaan adalah seorang Islam yang kononnya begitu prihatin dengan agama Islam.

“Sepatutnya pendedahan oleh seorang Ahli Parlimen terhadap senario dan ancaman fahaman Ateisme ini sudah cukup membimbangkan dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk membendungnya dari menular ke dalam masyarakat.

“Kumpulan ini bukan saja mengumumkan fahaman ateis mereka tetapi mula mempengaruhi rakyat lain terutama generasi muda. Adakah ini tidak dilihat bertetangan dengan Perlembagaan yang melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam? Ini juga boleh dilihat dari aspek perlanggaran mengikut Akta Hasutan 1948.

“Tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ada pihak yang bermati-matian mempertahankanya. Sukar untuk kita memahami pemikiran pemimpin berkenaan. Ini sesuatu yang pelik tetapi benar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.

Menguatkan lagi hujahnya, beliau berkata, seorang cendekiawan Islam, Prof Dr Shad Saleem Farouqi dalam kertas kerja bertajuk ‘The Constitution Of A Muslim Majority State’ menjelaskan bahawa tiada hak bagi Ateisme dalam Perlembagaan.

“Begitu juga dalam satu penghakiman oleh Chief Justice Warren Burger di dalam kes Thomas v. Review Board (1981) yang menyebut “only beliefs rooted in religion are given special protection to the exercise of religion,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, Malaysia sebagai sebuah negara Islam menurut Perkara 3 (1) Perlembagaan, sudah semestinya wajib mengawal mana-mana tindakan atau anutan yang bercanggah dengannya demi menjaga akan keabsahan agama Islam samada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Seorang pemimpin perlu melihat lebih jauh dari hanya sekadar kerangka undang-undang dan perlembagaan. Tetapi melihat dari aspek agama dan implikasi kepada generasi yang akan datang,” katanya.

The post Ateisme bukan satu agama: Timbalan Presiden Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ateisme bukan satu agama: Timbalan Presiden Isma
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ateisme bukan satu agama: Timbalan Presiden Isma"

Back To Top