KUALA LUMPUR, 17 Safar 1439H, Isnin – Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM1.04 bilion untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang sejak 2006 hingga tahun lalu.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, jumlah itu dibelanjakan daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) hingga Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).
“Jumlah itu dibelanjakan selepas mengambil kira reka bentuk, skop kerja, keperluan tapak dan faktor-faktor lain ketika permulaan projek,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Guan Eng meminta kerajaan menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan daripada RM2.157 bilion peruntukan kerajaan Persekutuan untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang.
Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mempersoalkan mengapa hanya RM442 juta sahaja dibelanjakan daripada jumlah peruntukan itu.
Menjawab pertanyaan tersebut, kementerian itu menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM2.157 bilion untuk projek-projek berkenaan di Pulau Pinang sejak Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990) sehingga Rancangan Malaysia Ke-11.
“Walaupun, RM2.157 bilion diperuntukkan bagi projek-projek tebatan banjir di negeri itu, ia tidak bermakna keseluruhan wang berkenaan dibelanjakan.
“RM2.157 bilion merujuk kepada kos siling awal yang dianggarkan perlu dibelanja untuk permulaan projek,” katanya.
The post Lebih RM1 bilion dibelanja untuk projek tebatan banjir Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Lebih RM1 bilion dibelanja untuk projek tebatan banjir Pulau Pinang
0 Komentar untuk "Lebih RM1 bilion dibelanja untuk projek tebatan banjir Pulau Pinang"