KULAI, 5 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Sebanyak 16 aduan berkaitan susu rumusan bayi dipercayai tiruan diterima setakat ini daripada pengguna susulan rampasan produk berkenaan awal bulan ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Khairul Anwar Bachok.
Beliau berkata, aduan tersebut meliputi sembilan aduan dari Johor Bahru, enam dari Pontian dan satu dari Batu Pahat.
“Kita telah buat pemeriksaan di premis-premis dan ambil sampel susu untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia untuk diperiksa kandungannya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 peringkat Johor di sebuah pusat beli-belah di Senai, dekat sini hari ini.
Berhubung ujian daripada sampel susu rumusan bayi yang dirampas pada 7 Disember lepas, beliau berkata keputusan sampel susu berkenaan hanya akan diketahui pada minggu hadapan.
Menurutnya, ibu bapa yang meragui susu rumusan bayi adalah tiruan, mereka boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNKK negeri untuk tindakan susulan.
Khairul Anwar berkata peniaga yang tidak bertanggungjawab dan didapati terlibat dengan penjualan susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan akan didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Pada 7 Disember lepas, pihak KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan dengan nilai dianggarkan RM42,000 selepas menerima aduan daripada pengeluar susu rumusan bayi jenama berkenaan yang mendapat aduan daripada pengguna. -Bernama
The post KPDNKK Johor terima 16 aduan susu tiruan bayi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di KPDNKK Johor terima 16 aduan susu tiruan bayi
0 Komentar untuk "KPDNKK Johor terima 16 aduan susu tiruan bayi"