Gema Semua Maklumat

Skandal 1MDB kleptokrasi terburuk, kata Peguam Negara Amerika

Skandal 1MDB kleptokrasi terburuk, kata Peguam Negara Amerika

BANGI, 17 Rabiulawal 1439H, Rabu – Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) menyifatkan skandal rasuah berjuta-juta dolar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai satu bentuk kleptokrasi paling buruk.

Sambil Jabatan Keadilan AS (DoJ) berusaha untuk memberi keadilan kepada mangsa, Peguam Negara AS, Jeff Sessions berkata, aset berkaitan 1MDB menyumbang hampir separuh daripada sejumlah AS$3.5 bilion yang dirampas atau disekat oleh DoJ, terikat dengan kesalahan pengubahan wang haram.

Pada Jun lalu, DoJ memfailkan beberapa saman sivil untuk merampas lebih AS$1.7 bilion aset dipercayai dibeli hasil daripada wang dicuri milik 1MDB – syarikat pelaburan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini adalah kleptokrasi paling buruk,” kata Sessions pada Forum Global on Asset Recovery di Washington, semalam. Transkrip ucapannya disiarkan dalam laman web DoJ.

Katanya, pegawai rasuah dalam 1MDB dilaporkan membelanjakan AS$200 juta untuk hartanah di Southern California dan New York; AS$130 juta untuk hasil seni; AS$100 juta melabur dalam pelabelan muzik Amerika dan AS$265 juta untuk kapal layar.

“Keseluruhannya, pegawai 1MDB dikatakan mencuci lebih AS$4.5 bilion dalam beberapa dana menerusi urus niaga yang kompleks dan kabur serta syarikat tipu dengan akaun bank yang meluas dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan Amerika Syarikat,” kata Sessions.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan pegawai 1MDB yang didakwa melakukan kerja itu.

Katanya, menerusi inisiatif antikleptokrasi DoJ memulangkan sekurang-kurangnya AS$254 juta hasil rasuah kepada penduduk Itali, Khazakhstan dan Peru, dan berjuta-juta dolar lagi kepada rakyat Nicaragua, Korea Selatan and Taiwan, sejak 2004.

1MDB dianggap ‘pet project’ Najib, yang mempengerusikan lembaga penasihatnya sehingga tahun lalu. Dana itu adalah subjek siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Switzerland, Singapura dan AS.

Saman sivil AS mendakwa AS$681 juta daripada dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan ke akaun bank Malaysian Official 1 (MO1).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, sebelum ini mengesahkan MO1 dirujuk kepada Najib.

The post Skandal 1MDB kleptokrasi terburuk, kata Peguam Negara Amerika appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Skandal 1MDB kleptokrasi terburuk, kata Peguam Negara Amerika
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Skandal 1MDB kleptokrasi terburuk, kata Peguam Negara Amerika"

Back To Top