PUTRAJAYA, 27 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Seramai 93 pelancong asing termasuk 13 rakyat tempatan terkandas di Pulau Tioman sejak Khamis lepas berikutan cuaca buruk.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, keadaan itu berlaku berikutan angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga serta ombak melebihi 4.5 meter di timur laut perairan Tioman.
Dalam satu kenyataan hari ini, agensi itu berkata, keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk perkhidmatan feri.
“Syarikat-syarikat yang mengendalikan perkhidmatan operasi feri dari Pulau Tioman ke Mersing terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu. Situasi ini telah menyebabkan ramai pelancong terkandas tidak dapat pulang ke tanah besar,” kata agensi itu.
Menurut NADMA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim hari ini telah meminta bantuan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) untuk membantu membawa pelancong yang terkandas keluar dari Pulau Tioman.
Menurut agensi itu, KD Terengganu telah berlepas daripada Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan kira-kira pukul 4 petang hari ini dan dijangka tiba di Pulau Tioman pada 12 tengah malam ini.
“Jika tiada halangan, semua pelancong yang terkandas ini akan dibawa pulang esok dan dijangka tiba pukul 3 petang di Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan,” kata NADMA. – Bernama
The post 93 pelancong terkandas di Pulau Tioman appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di 93 pelancong terkandas di Pulau Tioman
0 Komentar untuk "93 pelancong terkandas di Pulau Tioman"