KUANTAN, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Seramai 15 individu, termasuk dua kanak-kanak yang mengikuti aktiviti rekreasi di Hutan Pasir Berekit, Sungai Kechau di Lipis, terkandas selepas gagal keluar berikutan paras air sungai berkenaan yang naik mendadak.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh guru, Amir Rosdan Ramli, 38, yang mengetuai kumpulan tersebut pada jam 8 malam tadi.
Katanya, Amir Rosdan membuat laporan di balai polis Padang Tengku selepas berjaya keluar dari hutan itu dengan menumpang bot penduduk kampung yang secara kebetulan datang memancing di kawasan sama.
“Kumpulan itu memasuki kawasan hutan pada Sabtu lalu untuk memancing dan aktiviti rekreasi namun difahamkan sehingga semalam, semua perancangan itu tidak dapat dilaksanakan ekoran hujan.
“Pengadu mengambil keputusan untuk keluar dan meminta pertolongan kerana bimbang jika berlaku perkara tidak diingini memandangkan paras air yang semakin naik,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Azry Akmar berkata, untuk ke Hutan Berekit mengambil masa selama kira-kira 45 minit dari jalan utama dalam keadaan cuaca baik.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula sejak 9.30 malam, namun terpaksa dihentikan pada jam 1 pagi tadi ekoran keadaan cuaca dan persekitaran yang berbahaya.
Operasi disambung pada jam 9 pagi tadi melibatkan 29 pegawai dan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ini merupakan kejadian kedua terkandas akibat kenaikan paras sungai di Pahang, selepas lima pemancing diselamatkan pihak berkuasa di Sungai Lembing di sini petang semalam selepas terkandas selama dua hari di Lubuk Keliu. – Bernama
The post Dua kanak-kanak antara 15 kandas di Hutan Pasir Berekit appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Dua kanak-kanak antara 15 kandas di Hutan Pasir Berekit
0 Komentar untuk "Dua kanak-kanak antara 15 kandas di Hutan Pasir Berekit"