KUANTAN, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Mangsa banjir di Pahang terus meningkat tengah hari ini, dengan 2,061 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,884 orang pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof berkata, daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai, iaitu 1,358 orang daripada 399 keluarga.
“Semua mangsa ditempatkan di 14 PPS, manakala sembilan PPS beroperasi di Rompin dengan 633 mangsa daripada 168 keluarga dan di Pekan, 70 orang mangsa daripada 15 keluarga masih berada di PPS Sekolah Menengah Merchong Jaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Zainal berkata, sebatang sungai di Kuantan, iaitu Sungai Lepar di stesen Jambatan Gelugor telah melepasi paras bahaya iaitu 30.04 meter manakala dua lagi sungai berada di paras amaran iaitu Sungai Kuantan di stesen Bukit Kenau (19.93m) dan Sungai Kuantan di stesen Pasir Kemudi (7.43m).
Di Rompin, lima sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Kurnia di stesen Kampung Kurnia (1.96 m), Sungai Puteri, Kuala Rompin (2.03m), Sungai Rompin, Kampung Kerpal (2.18m), Sungai Aur, Kampung Aur (14.60m) dan Sungai Keratong, Bukit Serok (21.82m).
Beliau berkata, paras air di empat sungai di Pekan, iaitu Sungai Pahang di Pekan dan di Serambi, Kuala Sungai Chini serta Sungai Pahang Tua menunjukkan trend peningkatan berikutan hujan berterusan, namun masih tidak melepasi paras amaran. – Bernama
The post Mangsa banjir di Pahang terus meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Mangsa banjir di Pahang terus meningkat
0 Komentar untuk "Mangsa banjir di Pahang terus meningkat"