BANGI, 27 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Felda mengambil semula tanahnya yang dipindah milik untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), hari ini.
Difahamkan, syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd telah menyerahkan semula 16 geran tanah Felda itu kepada Pengarah Besarnya, Datuk Abdul Ghani Mohd Ali.
Menurut portal Sinar Harian, penyerahan dokumen itu dibuat dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Felda kira-kira jam 1 tengah hari tadi, yang turut disaksikan Pengerusinya, Tan Sri Shahril Abdul Samad.
“Persetujuan dan penyerahan berkenaan dibuat Ahli Lembaga Pengarah Synergy Promenade, Datuk Marina Hashim,” lapor portal itu.
Sebelum ini, Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah berstrategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM250 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015, tanpa pengetahuan Felda.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
Pertukaran hak milik secara rahsia itu juga dipercayai dilakukan ketika Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda.
Terdahulu, Shahrir mendedahkan bahawa penukaran milik tanah berkenaan tidak mendatangkan sebarang pembayaran kepada Felda.
Laporan berita melaporkan, tanah itu dimajukan dengan projek KLVC membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.
Menerusi carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), projek menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan 68 tingkat membabitkan 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat pakir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.
The post Felda ambil semula tanah di Jalan Semarak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Felda ambil semula tanah di Jalan Semarak
0 Komentar untuk "Felda ambil semula tanah di Jalan Semarak"