Gema Semua Maklumat

Guru mengamuk dipindah ke PPD

Guru mengamuk dipindah ke PPD

PUTRAJAYA, 10 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Seorang guru di sebuah sekolah di Kulim, Kedah yang mengamuk dalam satu mesyuarat guru, ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, pemindahan guru itu dibuat sementara menunggu siasatan punca beliau bertindak sedemikian selesai.

“Tindakan ini adalah bagi mententeramkan keadaan emosi guru berkenaan serta menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di sekolah berkenaan,” katanya.

KPM berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 24 Januari dan telah menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak.

Video berdurasi kira-kira dua minit itu memaparkan guru berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat dalam keadaan marah sambil mengetuk meja dalam satu mesyuarat guru sekolah terbabit.

Justeru, KPM turut mengingatkan semua guru dan pentadbir sekolah supaya sentiasa berkelakuan dan bertindak secara profesional pada setiap masa khususnya dalam konteks hubungan sesama rakan sekerja, pelajar serta masyarakat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

“Sebagai penjawat awam mereka hendaklah pada setiap masa menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat,” kata KPM. – Bernama

The post Guru mengamuk dipindah ke PPD appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Guru mengamuk dipindah ke PPD
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Guru mengamuk dipindah ke PPD"

Back To Top