Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 1 Jamadilawal 1439H, Khamis – Kerajaan perlu segera membetulkan kesilapan memelihara Tanah Rizab Melayu yang diamanahkan Raja-Raja Melayu terdahulu, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri.
Beliau berkata, Raja-Raja Melayu dalam wasiat yang disampaikan pada 1957 mahukan Tanah Simpanan Melayu berada pada nisbah sehingga 50 peratus di tangan orang Melayu, yang merupakan rakyat asal bagi negara ini.
“Namun, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun lalu, sehingga 2016, Tanah Rizab Melayu (TRM) berjumlah sekitar 4 juta hektar (2013: 4.1 juta hektar atau 31.19 peratus sahaja).
“Setelah 60 tahun negara ini merdeka pun, wasiat Raja-Raja Melayu masih belum berjaya ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan pendedahan Penyelidik dan Pengkaji Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman baru-baru ini bahawa jumlah tanah yang perlu kerajaan ganti selepas diambil sebanyak 9,000,000 hektar.
Zaharah berkata, Tanah Rizab Melayu semakin susut kerana kerajaan membiarkan tanah dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan dan kerajaan juga tidak memulangkan (atau menggantikan) semula tanah berkenaan.
Susulan angka yang membimbangkan itu, Khairuddin menggesa kerajaan mengambil tindakan segera yang lebih berkesan, komprehensif dan bersepadu bagi menangani isu penyusutan keluasan dan pembangunan TRM di negara ini.
“Pembangunan adalah keperluan masyarakat pelbagai bangsa dalam negara ini. Namun, ia tidak wajar mengorbankan pemilikan dan hak rakyat asal negara ini yang telah diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu.
“Saya menggesa kerajaan agar kerajaan mengemaskini dan mengiklankan keluasan dan kawasan Tanah Rizab Melayu pada masa ini.
“Kerajaan juga perlu mengganti semula Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan kerana apa-apa tujuan sekalipun, serta mengenalpasti dan mengisytiharkan kawasan baru sebagai Tanah Rizab Melayu,” katanya.
The post Kerajaan tak tunai wasiat Raja-Raja Melayu pelihara tanah rizab appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Kerajaan tak tunai wasiat Raja-Raja Melayu pelihara tanah rizab
0 Komentar untuk "Kerajaan tak tunai wasiat Raja-Raja Melayu pelihara tanah rizab"