Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 15 Jamadilawal 1439H, Khamis – Keputusan mahkamah yang membatalkan penukaran agama kepada Islam tiga kanak-kanak sebagai batal dan tidak sah, merugikan agama dan umat Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, hari ini.
Beliau turut menyifatkan keputusan itu sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.
“Susulan daripada kes ini, saya mencadang dan menyaran agar kerajaan negeri membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri. Pindaan ini berupaya mengangkat Mahkamah Syariah setaraf dengan mahkamah sivil.
“Peruntukan Mahkamah Syariah perlu diluaskan supaya memberi ruang supaya orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan, tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja.
“Pada masa sama, Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama kepada Islam tiga anak Muhamad Ridhuan Abdullah terbatal dan tidak sah, ekoran rayuan sebelah pihak oleh ibunya, M Indira Ghandi.
Ketika mereka diislamkan tanpa persetujuan ibu mereka pada 2009, kanak-kanak berkenaan masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.
Bertegas dengan pendirian tidak bersetuju terhadap keputusan itu, beliau berkata, ia adalah satu pencabulan terhadap ketinggian agama Islam.
“Lebih menyedihkan majoriti panel hakim yang membicarakan kes ini adalah beragama Islam,” katanya.
Beliau juga hairan kerana Mahkamah Persekutuan kali ini menggunakan takrifan ‘parent’ atau ‘ibu bapa’ secara majmuk dalam kes ini.
“Sedangkan dalam kes lain seumpama ini R Subashini melawan T Saravanan pada tahun 2007 mahkamah yang sama telah membuat keputusan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan menentukan agama anak tanpa persetujuan pasangan.
“Sepatutnya, dari kaca mata Islam, apabila ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka anak mereka juga dikira sebagai memeluk Islam,” katanya.
The post Keputusan rugikan Islam Harussani syor pinda undang-undang martabat Mahkamah Syariah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Keputusan rugikan Islam Harussani syor pinda undang-undang martabat Mahkamah Syariah
0 Komentar untuk "Keputusan rugikan Islam Harussani syor pinda undang-undang martabat Mahkamah Syariah"