Gema Semua Maklumat

Mangsa maut kena bilah pemotong rumput aktif memanah

Mangsa maut kena bilah pemotong rumput aktif memanah

SEREMBAN, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – “Arwah seorang yang sangat aktif dalam sukan memanah,” kata ibu saudara Nur Afini Roslan, 14, pelajar yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas di sini, hari ini.

Beliau yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita di pekarangan unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata, kali terakhir berjumpa dengan anak saudaranya itu adalah sekitar Disember lalu.

“Difahamkan insiden tersebut berlaku ketika dia sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah, sempena hari sukan sekolah yang berlangsung esok.

“Arwah dan adik-beradiknya yang lain sangat aktif bersukan dan pernah mewakili Pahang dalam sukan memanah. Walaupun sudah berpindah sekolah dari Kuantan, Pahang ke Gemas awal tahun ini, dia masih aktif dengan sukan itu malah kini bapanya sendiri yang menjadi jurulatih,” katanya dan difahamkan arwah adalah cucu saudara Rabuan Pit (bekas atlet olahraga).

Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, Nur Afini, anak keempat daripada lima beradik maut, manakala dua cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar Tingkatan Satu sekolah itu.

Beliau yang menetap di Klang, Selangor berkata, di Gemas, arwah tinggal bersama bapanya manakala ibu dan empat lagi adik-beradiknya masih menetap di Kuantan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden berkenaan.

“JPN sudah menetapkan peraturan bagi kontraktor menjalankan kerja pembersihan di setiap sekolah termasuk waktu dan situasi yang sesuai. Ini yang kita nak siasat sama ada kontraktor ini mendapat kebenaran atau sebaliknya untuk memotong rumput di padang sekolah itu,” katanya.

Shamsulkahar yang turut menemui bapa mangsa, Roslan Samad, 55, berkata bapanya juga reda dengan pemergian anaknya itu dan berharap kejadian sebegitu tidak akan berulang lagi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Mohd Yusoff Ismail berharap orang ramai segera menghentikan tular gambar kejadian itu sebagai menghormati perasaan keluarga mangsa.

“Bagi pihak seluruh warga sekolah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan diharap keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Saya akan membantu sedaya upaya untuk melicinkan proses menguruskan jenazah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, jenazah tiba di HTJS untuk dibedah siasat pada jam 3.45 petang diiringi bapanya dan polis. Nur Afini dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Sungai Kelamah, Gemas, malam ini. – Bernama

The post Mangsa maut kena bilah pemotong rumput aktif memanah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada RZ sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Mangsa maut kena bilah pemotong rumput aktif memanah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Mangsa maut kena bilah pemotong rumput aktif memanah"

Back To Top