APABILA yang bercakap itu bukan ahli, maka terjadilah hikayat yang dicedok dari karya asing, yang tidak sedikit pun menggambarkan suasana sebenar. Inilah hikayat yang saya baca dari Faisal Tehrani dalam artikelnya “Apabila Malaysia dimalukan mengenai kemaluan wanita”.
Saya merasa amat marah dan terkilan membaca bagaimana sunnah saranan Nabi dihina sedemikian rupa sehingga dilihat menyerupai amalan purbakala tidak berperikemanusiaan yang entah dipetik dari mana.
Sebagai seorang pegawai perubatan wanita, saya juga merangkap mudim bagi mengkhatankan bayi perempuan yang hadir ke klinik untuk tujuan berkhatan.
Saya telah melakukannya sejak tahun 2010 hampir setiap hari. Sebelum melakukannya saya membaca hadis yang membicarakan hal tersebut dan juga telah merujuk kepada Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya juga mempelajarinya dari seorang pakar perbidanan dan sakit puan bertauliah.
Dan biarlah saya beritahu, tiada langsung apa yang saya pelajari dan amalkan menyerupai apa yang ditulis oleh Faisal Tehrani dalam penulisannya.
Saya bukan di sini untuk membahaskan hukum. Apa yang ditetapkan oleh ahli muzakarah adalah cukup sebagai panduan rakyat Malaysia yang Muslim.
Namun sebelum memperkatakan hal prosedur dan teknikal, saya ingin tekankan, khatan bayi perempuan yang diamalkan di Malaysia tiada langsung persamaan dengan mutilasi kemaluan wanita (FGM) yang memudaratkan yang dimaksudkan oleh Faisal Tehrani mahupun Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
Muzakarah telah menggariskan ia adalah wajib melainkan mendatangkan mudarat. Iaitu, apabila anak sudah memahami akan perasaan malu dan protektif terhadap alat sulit atau kemaluan mereka, khatan tidak lagi menjadi wajib. Iaitu dilakukan apabila bayi berumur lebih kurang satu setengah tahun ke atas.
Perempuan dewasa manakah yang dikatakan perlu dikhitan sehingga sampai 1.3cm? Sesuatu yang hanya berbentuk penceritaan semata-mata, bagi menggambarkan Malaysia amat buruk dalam layanannya terhadap kaum wanita.
Syarat khatan bagi bayi perempuan hanya sekadar terbit darah, walau sekadar setitik. Untuk itu, sekadar menggores atau menggunting (snip) hujung kelentit sudah memadai.
Tiada kain putih, jampi serapah, doa yang meleret-leret, mandian air limau, atau bayi yang berkeadaan pedih dan dibiarkan menangis, mahupun pisau cukur yang dikerat 3 atau 4. “Daging” yang perlu ditanam, ini lagilah satu bentuk khurafat yang tidak wujud.
Keseluruhan penceritaan seorang felo penyelidik ini adalah satu bentuk hikayat paling tidak masuk akal dalam praktis khitan wanita moden di Malaysia.
Islam adalah agama terindah yang meletakkan sifat ihsan atau perikemanusiaan di tempat yang tinggi. Apakah logik amalan sunnah yang diwajibkan muzakarah dilakukan sehina seperti yang digambarkan Faisal Tehrani, dengan adanya dunia perubatan moden sekarang?
Semoga Faisal tercerah dengan penjelasan dari seorang mudim sendiri. Jika mahu lihat dengan mata sendiri bagaimana khatan bayi perempuan dilakukan di Malaysia di abad 21 ini, beliau dijemput ke klinik saya untuk melihat.
Saya menggesa masyarakat juga agar merujuk kepada mereka yang ahli didalam bidang mereka, bukan merujuk hikayat dari mereka yang hanya berniat memburuk-burukkan Islam melalui kaedah penglipur lara.
Dr Siti Nurhayati Adznan ialah pegawai perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka dan juga Aktivis Isma Melaka
Artikel ini terlebih dahulu disiarkan di FMT
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mahupun Ismaweb.net
The post Menjawab hikayat Faisal Tehrani mengenai khatan wanita appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada ainulillia sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Menjawab hikayat Faisal Tehrani mengenai khatan wanita
0 Komentar untuk "Menjawab hikayat Faisal Tehrani mengenai khatan wanita"