Gema Semua Maklumat

KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS

KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS -
Saad bin Abi Waqqas telah dilantik menjadi gabenor di Iraq. Memang sesualah dia berada pada posisi itu. banyak kelebihannya yang melayakkannya menjawat jawatan sebagai gabenor di negeri Iraq. Selain dia termasuk 10 orang yang diberi khabar gembira tentang syurga, dia juga tergolong As-Sabiqunal Awwalun. Dia juga disebutkan dalam hadis sebagai mustajabud doa. Dia juga panglima yang memimpin penyerban mujahid Islam sehingga terbuka negeri Irak. Sementelahn, hubungan kerabatnya yang rapat dengan Rasulullah SAW iaitu bapa saudara nabi SAW (sebelah ibunya).

Maka, berlakulah satu kisah semasa Saad bin Abi Waqqas menjadi gabenor di sana. Sampai ke pengetahuan umar aduan-aduan rakyat tentang Saad bin Abi Waqqas. Aduan tersebut berkisar mengenai solat yang dia pimpin. Barangkali macam  dikatakan solatnya jadi imam tak bagus. Suara perlahan, panjang bacaan atau suara tak dengar. Macam-macamlah masalah yang ditimbulkan kalau imam itu tidak disukai.

Umar Al-khattab panggil Saad bin Abi Waqqas dan gantung tugasnya. Penyiasat dihantar ke Irak dan dia pergi ke setiap masjid untuk tanyakan bagaimana keadaan Saad bin Abi Waqqas ini. Semuanya cakap elok belaka. Kecuali ada satu masjid yang dinamakan sebagai Masjid bagi Bani Abbas.  Dalam masjid itu seorang lelaki bangun dan menyatakan sikapnya kepada Saad bin Abi Waqqas. Dikatakan namanya Abu Sa'dah.

Katanya:


أما إذ نشدتنا فإن سعدا كان لا يسير بالسرية، ولا يقسم بالسوية، ولا يعدل في القضية

" Adapun, bila kami ditanya mengenai masalah itu, maka kami katakan sesungguhnya Saad itu jenis yang tidak ikut serta dalam peperangan, tidak samarata dalam pembahagian dan tidak adil dalam penghakiman".

Saad bin  Abi Waqqas ketika mengetahui tuduhan tersebut, beliau berdoa dengan katanya:

 أما والله، لأدعون بثلاث: اللهم إن كان عبدك هذا كاذبا، قام رياءا وسمعة، فأطل عمره، وأطل فقره، وعرضه للفتن

Adapun demi Allah! Aku akan berdoa dengan tiga perkara:

Ya Allah, jika hambamu itu berbohong dan menimbulkan tuduhan itu hanya kerana riyak dan sum'ah maka:

1) Panjangkan umurnya

2) Panjangkan kefakirannya

3) Timpakan atasnya fitnah.
Hadis mengenai cerita ini ada dalam Saheh Bukhari dan Muslim (Muttafaq alaih) dan perawinya ( Abdul malik bin Umair yang meriwayatkan daripada Jabir bin Samrah) berkata bahawa  dia menyaksikan sesudah itu lelaki itu hidup panjang umurnya sehingga dua keningnya jatuh sehingga menutup pandangan matanya dan dia menjadi geladangan jalanan yang diejek oleh orang lalu lalang.

Demikianlah akibat daripada doa Saad bin Abi Waqqas. Disebutkan dalam hadis ini bahawa kalimah yang selalu dikeluhkan lelaki tersebut ialah:

شيخ كبير مفتون، أصابتني دعوة سعد
" Aku orang yang sangat tua, menimpa atasku doa Saad".
Catatan Tambahan:

1) Silsilah Saad bin Abi Waqqas:
-Abu Ishak Saad bin Abi Waqqas(Malik) bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'i

-Saad adalah daripada Bani Zuhrah. Ayahnya Abu Waqqas adalah anak kepada pakcik Aminah bt Wahab, ibu Rasulullah SAW.


2) Saad adalah salah satu daripada 6 Ahli Syura yang dilantik Umar Al-Khattab untuk menentukan penggantinya.

3) Al-Hakim meriwayatkan dalam Mustadraknya satu hadis dengan sanadnya daripada Abdullah bin Umar, katanya:
كنا جلوسًا عند النبي صلى الله عليه وسلم فقال: "يدخل عليكم من هذا الباب رجل من أهل الجنة" فطلع سعد بن أبي وقاص 


" Kami sedang duduk satu hari di sisi nabi SAW lalu baginda bersabda sambil menunjukkan ke arash satu pintu: Akan masuk daripada pintu ini satu orang lelaki daripada ahli Syurga. Tiba-tiba muncul daripada pintu itu Saad bin Abi Waqqas."

Saadlah lelaki yang berkata kepada ibunya yang memaksakannya untuk kembali kafir:

يا أمَّهْ، تعلمين والله لو كان لك مائة نفس فخرجت نفسًا نفسًا ما تركت ديني. إن شئتِ فكلي أو لا تأكلي
" Wahai ibu, kamu perlu tahu, demi Allah, jika ibu ada 100 nyawa lalu keluar nyawa itu satu demi satu supaya aku tinggalkan agama ini, aku tetap tidak akan tinggalkan. Jika ibu mahu makan, makanlah. Jika masih tak mahu makan, ikut sukalah."

Saad berkata demikian kerana ibunya mengugutnya dengan boikot makan. Dia mahu Saad kembali kepada kesyirikan. Tetapi Saad seorang yang tegas imannya. Disebutkan dalam tafsir, daripada peristiwa inilah turunnya ayat Quran:
 وإن جاهداك لتُشْرك بي ما ليس لك به علم فلا تُطِعْهما
(Al-Ankabut: 8)



4) Nabi SAW pernah berdoa untuk Saad:

اللهم سَدّدْ رميته وأجب دعوته


(Ya Allah, tepatkan panahannya dan mustajabkan doanya)



Dalam Sirah dicatatkan bahawa Saad adalah orang pertama yang memanah untuk jihad fi Sabilillah dalam Islam. Dia mendapat tahap ketepatan yang tinggi dalam memanah. Disebutkan dalam Siyar A'lam An-Nubala' bagaimana ligatnya Saad memanah dalam perang Uhud. Dengan satu mata panah, dia memanah musuh tiga kali dan semuanya kena sasaran sehingga orang Islam ta'ajub dengan kebolehan Saad itu.

Rujuk: Darulfatwa





Credit kepada sumber asal Artikel di KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS
Tag : agama
0 Komentar untuk "KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS"

Back To Top