Gema Semua Maklumat

RIWAYAT BERPENYAKIT MENJADI PUNCA PENGHINAAN ATAS NABI

RIWAYAT BERPENYAKIT MENJADI PUNCA PENGHINAAN ATAS NABI -
Manusia hebat selalu diumpat orang. Biar lama masa, orang masih memperdebatkannya. Pencintanya tidak terpermanai banyaknya. Namun dalam laut luas para muhibbin, terkontang kanting beberapa ketul duri mukrihin.

Demikianlah sosok yang bernama Muhammad SAW, nabi akhir zaman. Telah berlalu lebih 1400 tahun kewafatannya. Namun, jerih musuh yang cuba mentajrih kanvas hidupnya yang suci tidak pernah letih. Mereka sentiasa membelek catatan-catan durja dalam pelbagai sumber untuk menjadi sandaran mereka.

Kekadang mereka mendapat bola tanggung. Riwayat yang dimanipulasi ada dalam sumber soheh ummat Islam seperti Saheh Bukhari dan Muslim. Dengan manipulasi pemahaman dan tafsiran semasa yang tiada realistik mengikut zaman, mereka menuduh nabi SAW sebagai lelaki tua yang bernafsu pada kanak-kanak.

Satu perkara yang tidak dipermasalahkan pada zaman berlakunya, lalu dipersoalkan di zaman kemudian. Apa maksudnya? Sama ada riwayat bermasalah atau otak yang gagal berfungsi.

Kerana bernafsu mencari poin-poin yang boleh boleh dijadikan panah beracun, catatan-catatan dalam sumber sampah di pungut. para ulama ISlam dengan disiplin ilmu naqal riwayat yang kukuh telah menapis riwayat kabur tersebut. Namun, ia masih dikutip oleh mereka yang berpenyakit hati.

Nabi digambarkan pembunuh kejam dalam kisah Ummu Qirfah. Kisah yang dinaqal dalam kitab sirah Ibn Hisyam, Tobaqat Ibn Saad, Al-Muntazim dan lain-lain. Kerana cerita itu, nama nabi jadi mainan dan celaan.

Tidak tahulah siapa yang berdosa? pencela nabi atau periwayat cerita? Atau apakah kesalahan itu perlu dibebankan juga kepada ulama-ulama yang mengangkat riwayat-riwayat palsu dan menyimpan dalam karya mereka? Jika para ulama yang menulis hanya sebagai pembawa riwayat yang bertujuan mengkhabarkan kepalsuannya, mereka mungkin dapat dimaafkan dan diwajarkan. Itulah sikap para ulama nuqqad terkemudian. Ketokohan At-Tobari tidak diremehkan. Namun, para pendusta di dada sejarah, mereka akan menanggung akibat cerita bohong mereka.

Setiap yang mencela nabi kerana riwayat bohong yang sampai dengan jalan mereka, maka pendusta itu akan menuai dosa juga. Berlipur lara mungkin menyeronokkan mereka pada zaman itu. Orang berkeliling mereka mendengar kisah-kisah pelik yang mereka ukir. Kisah yang entah di mana diambil lalu diceritakan kepada masyarakat.

Sebab itu para ulama rijal tanpa silu menggelar orang ini pendusta, tiada nilai, tak diambil perkataannya dan macam-macam lagi lebel. Memang mereka layak dilebelkan kerana mereka menconteng arang di wajah agama.Nama-nama seperti Al-Waqidi, Muqatil, Ibn Lahi'ah, Abu Mikhnaf, Ibn Ishak dan ramai lagi ditahzir dan ditajrih oleh para ulama kerana banyaknya dusta yang dikatakan mereka. Mereka akan menghadapi Allah dengan jasa dan dosa mereka yang bakal ditimbangkan.

Pun begitu, para penulis sejarah yang menaqalkan perkataan mereka mungkin dengan niat agar jadi bahan kajian orang terkemudian. Namun musuh-musuh Islam yang tidak mengerti alat tapisan pusaka ulama menganggap cerita itu benar-benar terjadi dan mereka sandarkan untuk mencela nabi Muhamamd SAW. Senjata di tangan hulubalang bakal berguna buat mempertahankan diri. Tapi jika di tangan kanak-kanak hinggusan, ia akan melukakan. Begitulah bahan-bahan yang diambil daripada kitab. Nilai dan nilai. Lihat apa kata para ulama yang diberi basiroh mengenainya. Ambil yang jernih dan singkirkan yang keruh.

Demikianlah sikap kita di hari ini. Jangan asal ada dalam kitab, terima bulat-bulat. Masa telah lama berputar. Air jernih yang mengalir dari gunung pun bertukar warna bila melintasi hutan dan belantara. Bila melintasi desa dan kampung, makin banyak pencemarannya. Apatah lagi bila masuk kota-kota-kota.

Tidak yang kau sangka ilmu itu berguna, andai jatuh ke dada orang yang tidak berfikir.


Credit kepada sumber asal Artikel di RIWAYAT BERPENYAKIT MENJADI PUNCA PENGHINAAN ATAS NABI
Tag : agama
0 Komentar untuk "RIWAYAT BERPENYAKIT MENJADI PUNCA PENGHINAAN ATAS NABI"

Back To Top