Oleh Razali bin Zakaria
KOTA SARANG SEMUT, 4 Syaaban 1438H, Isnin – PAS konsisten menegaskan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap dalam mengeluarkan fatwa membolehkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikutip kepada rakyat Malaysia, termasuk daripada orang miskin.
Menghormati kewibawaan anggota Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ketua Penerangan Ulama dan anggota Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, perbincangan mengenai masalah GST itu perlu dirungkaikan secara akademik dan ilmiah, berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Beliau berkata, apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya melihat kepada tujuan cukai diambil, maka di situlah bermulanya kepincangan dan kesilapan dalam mengeluarkan fatwa.
Beliau membacakan hadis Rasulullah SAW yang antara lain bermaksud tidak akan berganjak dua kaki anak Adam pada Hari Akhirat hinggalah dia disoal empat perkara.
“Dua antaranya ialah tentang hartanya dan daripada mana hasil diperoleh dan kepada apa dibelanjakan. Hadis ini menunjukkan kepada kita penentuan satu hasil yang kita dapat hukumnya mesti dilihat kepada dua iaitu iaitu dari mana diambil dan untuk apa dibelanjakan. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya memfokuskan kepada bagaimana dibelanjakan… apa tujuan dibelanjakan..
“Di situlah kesilapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Yang patut kena tengok ialah bagaimana ia diambil. Ulama dahulu, bila bincang mengenai cukai yang boleh dikutip oleh pemerintah, mereka meletakkan beberapa syarat. Tiga sekurang-kurangnnya iaitu boleh diambil cukai di kala mana pendapatan kurang… pendapatan untuk menguruskan perbelanjaan negara – mungkin sekarang ini kita kata boleh ambil GST sebab negara kekurangan hasil.
“Kedua mestilah kekurangan hasil itu berlaku bukan kerana faktor ketirisan, penyelewengan dan juga pembaziran… Nombor dua ini saya yakin Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mampu nak bahas, apatah lagi fatwa dikeluarkan bulan Oktober 2014 sedangkan GST dibawa ke Parlimen pada Mac 2014 dan diwartakan pada April,” katanya pada ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-63, di sini hari ini.
Dr Khairuddin berkata, ketiga ialah cukai hanya diambil daripada orang kaya sahaja dan di sinilah PAS melihat bahawa GST gagal menepati syarat, kerana GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan yang tidak dapat membezakan antara orang miskin dan kaya.
“Ertinya akan ada orang miskin juga yang membayar cukai. Bila ada orang miskin dan kaya membayar cukai di situlah GST menjadi haram. Tidak boleh satu cukai diambil daripada orang miskin, hanya boleh diambil daripada orang kaya. Kerajaan pun bijak. Dia kata kita dapat GST dan kita pulangkan balik kepada rakyat miskin menerusi BR1M.
“Kita kata setiap sen yang diambil daripada orang miskin belum tentu sampai kepada orang yang bayar. Brim secara rawak. Ikut mana sekalipun dasar GST tidak menepati syarat ketiga. Syarat di mana cukai hanya boleh diambil daripada orang kaya sahaja. Kerana itulah kita menegaskan GST adalah haram, bercanggah dengan Islam dan kita menuntut kerajaan membatalkannya dan tidak wajar menjadikan fatwa Kebangsaan sebagai dalil untuk kerajaan terus memperkenalkan GST,” katanya.
Beliau turut menggariskan secara ringkas alternatif kepada kerajaan untuk menggantikan GST.
“PAS konsisten dengan menyatakan bahawa GST adalah sistem cukai yang bercanggah dengan Islam dan mesti dibatalkan dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap dalam hal ini.
“Konsep pemerintahan dalam Islam cukai tak diambil melainkan ada syarat-syaratnya. Asas kepada kerajaan adalah bukan negara kutip cukai, tetapi negara yang memberi hidayah negara yang memberi hidayah kepada umatnya.
“Saya yakin bila kita bawa kaedah pemerintahan Islam, kita yakin rakyat akan mendapat yang terbaik, rezeki akan melimpah ruah dan cukai seperti GST pasti akan kita batalkan,” katanya.
The post PAS konsisten kata GST haram, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di PAS konsisten kata GST haram, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap
0 Komentar untuk "PAS konsisten kata GST haram, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap"