Oleh Razali bin Zakaria
BANGI, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Pemuda PAS mengembalikan paku buah keras kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, selepas Setiausaha Agung DAP itu menuduh PAS sesat dalam perjuangan politiknya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, sebaliknya berkata, Guan Eng bukan sahaja sesat malah turut mengheret sama pihak tertentu di dalam PAS sebelum ini untuk ikut sama sesat.
Beliau membaca kenyataan Guan Eng yang menuduh PAS telah sesat dalam perjuangan politik apabila mengisytiharkan bahawa DAP adalah musuh utama, dalam sebuah portal berita liberal.
“Suka untuk saya membuat sedikit pencerahan kepada tuan bahawa kenyataan tersebut tidaklah disebut oleh mana-mana pimpinan utama di atas pentas muktamar PAS. Ia hanyalah kenyataan yang disebut oleh salah seorang perwakilan sahaja dan tidak bererti ia merupakan pendirian parti.
“Muktamar PAS berjalan dengan semangat demokratik dan membenarkan para perwakilan melontarkan pandangan tanpa perlu menggelarkan dirinya sebagai parti demokratik.
“Namun, apabila tuan menyatakan bahawa PAS telah ‘sesat’ semata-mata kerana mengganggap DAP sebagai musuh utama, maka ia memerlukan kepada sedikit pembetulan. Hakikat yang sebenarnya, tuan lah yang telah sesat sebelum ini sehingga turut sama mengheret beberapa pihak yang sebelum ini di dalam PAS untuk ikut sama tersesat,” katanya.
Ahmad Fadhli berkata, Guan Eng pada 18 November 2015 membuat kenyataan ‘Supporting PAS now is the same as supporting Barisan Nasional (BN), a vote for PAS is a vote for BN..‘ yang disiarkan dalam pelbagai media massa.
Beliau berkata, pada 16 Mac tahun lalu, Guan Eng mengulangi kenyataan itu dengan berkata ‘a vote for PAS is a vote for UMNO.. ‘ ketika mengulas gagasan sejahtera yang diumumkan PAS bersama parti Ikatan.
“Menyifatkan bahawa mengundi PAS sama dengan mengundi UMNO secara realitinya telah mengisytiharkan PAS sebagai musuh kerana bukankah selama ini tuan tidak pernah berganjak dari menyatakan bahawa UMNO ialah musuh utama? Bermusuh dengan UMNO sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin PAS sepentas dengan pemimpin UMNO (walaupun tuan sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan).
“Itu belum mengambil kira pelbagai serangan yang ditujukan oleh tuan kepada PAS ketika kehangatan PAS bermuktamar. Bukankah tuan yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada ketika kita masih bergelar ‘rakan’? Bukankah itu nama tikam belakang ketika seluruh ahli PAS sedang menumpukan perhatian untuk bermuktamar?.
“Tuan, ‘better to have an enemy who slaps you in the face than a friend who stabs you in the back..‘, memiliki rakan seperti parti tuan yang terkenal dengan ‘arrogant’ adalah satu langkah yang amat merbahaya dan berisiko,” katanya.
Ahmad Fadhli berkata, PAS tidak pernah menyatakan sokongan kepada UMNO atau Barisan Nasional (BN), kecuali kebersamaan terpencil dalam isu-isu tertentu sahaja, malah ucapan perwakilan menyatakan tidak setuju dengan dasar kerajaan BN jauh lebih banyak daripada menjadikan DAP sebagai sasaran.
“Percayalah, akan tiba masanya parti-parti yang berada di dalam Pakatan Harapan akan menyatakan tdak selesa mereka dengan parti tuan menjelang pilihanraya umum nanti. Jika tuan masih berada di luar pada masa itu, tuan akan membenarkan telahan ini. Selamat berjuang, our true enemy!,” katanya.
The post Anda sesat lagi menyesatkan, kata Pemuda PAS kepada Guan Eng appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di Anda sesat lagi menyesatkan, kata Pemuda PAS kepada Guan Eng
0 Komentar untuk "Anda sesat lagi menyesatkan, kata Pemuda PAS kepada Guan Eng"