KUANTAN, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Jemaah Pengampunan Pahang bercadang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa mengikut undang-undang Islam atau diyat, sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan hukuman mati bagi sabitan membunuh.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kaedah itu yang dipercayai tidak pernah dilaksanakan di negeri lain sudah dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Jemaah Pengampunan.
“Kaedah ini dapat memberi peluang kepada banduan supaya tidak dikenakan hukuman mati, tetapi sebagai balasan digantikan dengan hukuman lain yang bersesuaian dan mengikut pendapat keluarga mangsa.
“Ini pendekatan yang ada dalam undang-undang Islam dan cadangan ini apabila diputuskan adalah bertepatan dengan syariah Islam. Boleh berbincang semula dengan keluarga mangsa. Perkara ini bergantung juga kepada kes yang dihadapi.
“Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif. Sama-sama kita fikirkan adakah ia baik, tetapi daripada sudut syariat, ia adalah dibenarkan,” titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang di sini, hari ini.
Baginda bertitah, diyat juga sesuai untuk dipraktikkan kepada bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam.
Sementara itu, Tengku Abdullah dalam dalam titah ucapan baginda mengingatkan peguam syarie untuk mematuhi peraturan undang-undang Islam dan etika serta amalan sebagai peguam syariah kerana mereka adalah sebahagian daripada komponen perundangan Islam.
“Saya nasihatkan supaya semua berusaha bersungguh-sungguh menjaga nama baik profesion ini. Pelihara martabat dan kehormatan perundangan Islam. Jalankan tugas dan peranan dengan baik demi menegakkan keadilan supaya rakyat sentiasa terbela dan mendapat hak serta pembelaan yang sepatutnya,” titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah sebagai golongan yang arif dengan perundangan Islam, peguam syarie juga seharusnya memainkan peranan turun ke peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan tentang kekeliruan berkaitan undang-undang Islam.
“Peguam syarie juga perlu memainkan peranan memberi input yang sesuai kepada pihak berkenaan yang membolehkan penambahbaikan dapat dilaksanakan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan bagi kebaikan masyarakat,” titah baginda. – Bernama
The post Jemaah Pengampunan Pahang cadang laksana kaedah diyat terhadap banduan hukuman mati appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di Jemaah Pengampunan Pahang cadang laksana kaedah diyat terhadap banduan hukuman mati
0 Komentar untuk "Jemaah Pengampunan Pahang cadang laksana kaedah diyat terhadap banduan hukuman mati"