PUTRAJAYA, 18 Syaaban 1438H, Isnin – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sistem penyampaian sebagai usaha mencegah gejala rasuah dan penyelewengan dalam agensi penguatkuasaan itu.
Penggunaan teknologi itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi melibatkan pembaharuan lesen, pembayaran cukai, denda dan kompaun melalui sistem dalam talian serta kiosk.
Bagi penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalan raya pula, JPJ menangani kesalahan pemandu melalui Sistem Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang mana kedua-duanya berkonsepkan rakaman kamera, katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu sekali gus mengurangkan penglibatan antara JPJ dan pengguna, serta mengurangkan risiko berlakunya salah guna kuasa dan rasuah.
“Meskipun aduan sifar merupakan perkara mustahil dicapai mana-mana agensi awam, namun penambahbaikan berterusan perlu dilaksanakan dan dilestarikan, khususnya hal berkaitan penyampaian perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelancaran ”No Gift Policy” dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini pada Isnin.
Pada masa sama, Ab Aziz memaklumkan, seramai 33 kakitangan JPJ telah diambil tindakan tatatertib tahun lepas atas pelbagai kesalahan, yang mana lapan daripadanya dibuang kerja dan tujuh lagi digantung kerja.
Bagi kes berkaitan integriti pula, 10 daripadanya berhadapan dengan siasatan oleh SPRM.
The post JPJ pertingkat penggunaan teknologi, elak penyelewengan, rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di JPJ pertingkat penggunaan teknologi, elak penyelewengan, rasuah
0 Komentar untuk "JPJ pertingkat penggunaan teknologi, elak penyelewengan, rasuah"