Gema Semua Maklumat

Evangelis bahaya tapi IKSIM tak setuju diharamkan demi jaga imej wasatiyyah

Evangelis bahaya tapi IKSIM tak setuju diharamkan demi jaga imej wasatiyyah

BANGI, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) tidak bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya evangelisme diharamkan atau disekat demi menjaga imej Malaysia sebagai peneraju wasatiyyah.

Memetik laporan sebuah portal, Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Datuk Prof Mahamad Naser Disa sebaliknya percaya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada mencukupi bagi memastikan semua pihak dilindungi daripada sebarang ancaman mana-mana kumpulan ekstremis.

“Jika di pihak Islam, kita berhadapan IS yang menyalahgunakan nama Islam dan jihad, di pihak Kristian dalam negara pula kita berhadapan dengan ancaman pelampau-pelampau CS (Christian State).

“Banyak media telah mendedahkan tentang hasutan kumpulan evangelis radikal yang sejak hampir 20 tahun menyemai semangat untuk menukar negara Islam Malaysia kepada Negara Kristian.

“Ini termasuk hasutan menjadikan Malaysia sebagai negara “Golden Gate” yang bernaung di bawah kuasa pemerintahan Jerusalem sepertimana yang sering diucapkan oleh pelampau evangelis dari dalam dan luar negara,” katanya.

Oleh itu katanya, IKSIM tidak mencadangkan untuk mengharamkan evangelisme sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Ini kerana cadangan sekatan sedemikian akan mengundang kritikan antarabangsa dan imej Malaysia sebagai peneraju wasatiyyah akan terjejas teruk. Persepsi negatif antarabangsa ke atas Malaysia seperti inilah yang pihak radikal seumpama ini mahukan. Kita perlu bijak mengelak perangkap mereka,” katanya.

Mahamad Naser juga meminta semua pihak melihat isu ini dari sudut ketidaksetiaan kumpulan radikal seperti ini kepada Raja-raja, negara, undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Semua tiang seri pengukuh keamanan negara ini, sedang cuba dihakis oleh pelampau evangelis dari hati sanubari penganut-penganut agama Kristian Malaysia. Majoriti penganut Kristian di Malaysia bersikap moderat.

“Tetapi, lewat kebelakangan ini, apabila adanya pergerakan kumpulan radikal dengan bantuan dan pembiayaan yang masuk keluar ke dalam negara, suasana pengamalan agama di kalangan mereka-mereka yang moderat, kian terhakis dari hari ke hari,” katanya.

Katanya, Tan Sri Joseph Kurup, sebagai menteri yang bertanggungjawab berkenaan perpaduan kaum dan agama dalam negara, harus memimpin golongan Kristian moderat untuk turut sama memulau dan tidak bersekongkol dengan kumpulan radikal evangelis ini sebagaimana juga orang Islam memulau dan tidak mahu bersekongkol dengan pengganas IS.

“Mereka perlu mempromosi ketaatan dan kesetiaan kepada Raja dan negara serta memupuk semangat hormat kepada Perlembagaan terutama aspek kedaulatan Islam. Hanya dengan sikap begini negara akan dapat terus menikmati kedamaian dan kesejahteraan,” katanya.

The post Evangelis bahaya tapi IKSIM tak setuju diharamkan demi jaga imej wasatiyyah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Evangelis bahaya tapi IKSIM tak setuju diharamkan demi jaga imej wasatiyyah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Evangelis bahaya tapi IKSIM tak setuju diharamkan demi jaga imej wasatiyyah"

Back To Top