Gema Semua Maklumat

PAS jawab Najib: DAP anti-Islam, UMNO tak bersungguh dengan Islam

PAS jawab Najib: DAP anti-Islam, UMNO tak bersungguh dengan Islam

BANGI, 26 Ramadan 1438H, Rabu – PAS sekali lagi memberitahu mereka tidak boleh bekerjasama dengan DAP berikutan parti itu secara jelas menentang Islam, manakala UMNO pula tidak bersungguh melaksanakan syiar Islam.

Lebih dari itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, DAP bukan setakat tidak mahu melaksanakan Islam, malah memusuhi Islam.

“Ibarat seorang kawan yang naik satu kereta bermusafir bersama kita, bila masuk waktu solat, kalau pun mereka tak mahu solat, sekurang-kurangnya mereka bersetuju untuk berhenti dan tunggu sehingga kita selesai solat.

“Bukan kita nak paksa mereka solat. Tapi ternyata DAP bukan setakat tak mahu solat, malah mereka juga menentang keras untuk kita berhenti seketika bagi menunaikan solat. Maka DAP tak layak lagi dibuat kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Berbuka Puasa di Jitra kelmarin, yang mendakwa sebab PAS meninggalkan pakatan pembangkang kerana dibuli oleh DAP.

Azman berkata, ianya merupakan suatu kenyataan yang agak lucu dari seorang Presiden UMNO yang gagal untuk memahami isu sebenar yang menyebabkan PAS membatalkan tahaluf dengan DAP.

“Mereka yang tak faham akan mengatakan PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang kerana dibuli, tapi mereka yang faham akan melihat dengan jelas bahawa halangan dan penentangan DAP terhadap Islam adalah punca PAS meninggalkan rakan tahaluf dalam pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau menjelaskan, tahaluf bukannya dilaksanakan semata-mata kerana nak menang ke Putrajaya tanpa menghiraukan soal bagaimana dan dimana nanti syariat Allah mengambil peranan dalam mengisi kemenangan.

“Kalau DAP menghalang dan menentang syariat Allah, kenapa PAS tak bersama UMNO? Sebuah parti orang Melayu beragama Islam!“Jawabnya DAP menentang Islam manakala UMNO pula tak bersungguh dan tak serius nak melaksanakan Islam,” tegasnya.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau menerangkan, Islam bagi UMNO cuma dizahirkan ketika terdesak dan terhimpit untuk meraih sokongan.

“Masa senang UMNO lupa Islam, bila tersepit UMNOingat Islam. Pemimpin UMNO bertakbir dalam Perhimpunan Agong UMNO, dalam masa yang sama kerajaan UMNO jugalah yang memberi lesen kepada pelbagai maksiat dan judi dihalalkan dalam negara.

“Pemimpin UMNO bercakap tentang Islam. Mereka jugalah juara penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, kroni, nepotisme, salah tadbir urus, pembaziran harta negara serta kemewahan melampau pemimpin negara,” katanya.

Meskipun PAS dan UMNO sama-sama parti orang Melayu, namun Azman berkata, kedua-duanya sangat berbeza kerana Melayu UMNO berjuang atas dasar kebangsaan sementara Melayu PAS meletakkan Islam sebagai dasar.

“Pemimpin UMNO dan PAS sama-sama Islam. Tapi belum ada lagi pemimpin PAS yang ditahan dan dibicarakan kerana rasuah. Pemimpin UMNO pula ramai yang merengkok dalam penjara kerana rasuah.

“Pemisah antara PAS dan UMNO ialah Islam. Terima Islam sebagai dasar perjuangan lalu berkerja untuk melaksanakan Islam, maka kita boleh bersama,” katanya.

The post PAS jawab Najib: DAP anti-Islam, UMNO tak bersungguh dengan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PAS jawab Najib: DAP anti-Islam, UMNO tak bersungguh dengan Islam
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "PAS jawab Najib: DAP anti-Islam, UMNO tak bersungguh dengan Islam"

Back To Top