Gema Semua Maklumat

Haji tajaan 1MDB dapat ‘Haji 1MDB, Haji Robin Hood’, kata Subky Latif

Haji tajaan 1MDB dapat ‘Haji 1MDB, Haji Robin Hood’, kata Subky Latif

BANGI, 10 Syawal 1438H, Selasa – Biarpun jutaan ringgit yang dibelanjakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menaja jemaah haji setiap tahun, ia tidak dapat membasuh debu dan daki angkara lesapnya wang yang diambil daripada kerajaan, kata veteran PAS, Subky Latif.

Malah, beliau membangkitkan persoalan pandangan panel syariah Lembaga Tabung Haji, kerana 1MDB adalah syarikat pelaburan Kementerian Kewangan yang dipercayai melesapkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan.

Mengulas tajaan mengerjakan haji menerusi program khas Perdana Menteri-Yayasan 1MDB, beliau berkata, di dalam dunia ini ada orang menggunakan wang syarikat atas nama agama, sebagai perisai bagi menutup pandangan orang ramai terhadap perbuatan lain.

Mengikut laporan, sejak tahun 2011, seramai 5,711 jemaah telah ditaja menunaikan haji dengan perbelanjaan sebanyak RM56 juta melalui program khas Perdana Menteri-Yayasan 1MDB. Tahun ini, 1,200 jemaah dari seluruh negara bakal menunaikan haji dengan ditaja program berkenaan.

“Dengan duit apa orang bertuah itu naik haji usah ditanya. Cuma ia dapat haji mabrur atau tidak mungkin berbangkit. Jika yang naik haji secara sah pun belum tentu dapat mabrur, yang punca membiayai mereka yang ditakwil itu mungkin baliknya dengan Haji 1MDB saja.

“Moga-moga mereka dapat haji mabrur, tetapi yang nyata bagi orang bertuah itu ialah Haji 1MDB,” kata Subky dalam satu kenyataan.

Bekas Ketua Pengarang Harakah itu mengimbas jenayah dilakukan seorang perompak terkenal pada tahun 70-an di Kuala Lumpur iaitu Botak Chin, yang mencurahkan hasil rompakan kepada gelandangan.

Katanya, walaupun Botak Chin melakukan kebajikan besar, tetapi dia tetap diburu kerana jenayahnya dan akhirnya Robin Hood Malaysia itu dibunuh.

Subky berkata, Robin Hood terkenal sebagai penyamun yang menggunakan hasil rompakannaya bagi membela golongan yang tidak berada, tetapi undang-undang tetap tidak memihak kepadanya.

“Sekalipun berjuta dan berbilion diperuntukan 1MDB untuk ribuan haji, tetapi ia tidak dapat menutup angkara lesapnya duit yang diambil daripada kerajaan itu. Nawaitu 1MDB itu justeru apa? Lillahkah atau bagi menghalalkan rompakannya? Yang berkebajikan dan berpahala ialah yang dibuat kerana Allah.

“Sebarang yang kerana Allah itu mestilah sumbernya bersih. Jika berniat seperti Robin Hood tidak dapat diterima bersih nawaitunya, apa lagilah kalau rompakan bernawaitu seperti Ali Baba dengan 40 penyamun.

“1MDB mungkin selepas ini mengadakan alumni haji-haji 1MDB dan setiap haji itu tidak percaya duit 1MDB dirompak. Untuk lebih glamor, haji yang bertuah itu jadi Haji Robin Hood,” katanya.

The post Haji tajaan 1MDB dapat ‘Haji 1MDB, Haji Robin Hood’, kata Subky Latif appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Haji tajaan 1MDB dapat ‘Haji 1MDB, Haji Robin Hood’, kata Subky Latif
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Haji tajaan 1MDB dapat ‘Haji 1MDB, Haji Robin Hood’, kata Subky Latif"

Back To Top