Gema Semua Maklumat

Masuk kampung baru tahu beban GST, ekonomi merosot

Masuk kampung baru tahu beban GST, ekonomi merosot

PEDANG tertarik dengan artikel ditulis Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah – Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan – berhubung manfaat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan bermula 1 April 2015.

Secara umum, Pedang dapati beliau bersetuju amat dengan GST enam peratus yang dikenakan kepada semua rakyat Malaysia, dan warga negara asing yang membeli-belah di negara kita.

Rakyat Malaysia ini, termasuklah bayi baru lahir dan orang yang meninggal dunia. Seperti yang selalu Pedang kata, lampin pakai buang bayi baru lahir ada GST; kain putih dan barangan lain untuk kapan orang mati juga ada GST. Pokoknya di Malaysia sekarang ini siapa yang baru lahir kena cukai, yang mati pun kena cukai.

Itu belum dikira tol jalan atau lebuh raya. Masuk saja ke Malaysia dah kena tol. Tapi, bukan isu ini yang hendak Pedang perkatakan, tetapi GST yang amat membebankan rakyat, khususnya penduduk luar bandar, tatkala ekonomi mereka semakin merosot.

Pedang berhari raya di rumah seorang rakan. Antara tetamunya ialah seorang peniaga runcit kecil-kecilan di kampung. Beliau menceritakan mengenai perniagaannya yang terpaksa ditutup kerana orang kampung sekarang tidak berduit. Dulu beliau boleh dapat RM800 hingga RM1,000 sehari, tetapi sekarang RM300 pun susah. Beliau membeli barang dengan dikenakan GST, tapi menjualnya kepada orang kampung tanpa GST.

Semua ini katanya, kesan daripada ekonomi negara yang merudum, nilai ringgit jatuh, menyebabkan penduduk kampung yang rata-ratanya petani yang mengerjakan bendang padi dua kali setahun, menanggung beban yang teruk.

Ada juga yang mengatakan ikan kembung tetap habis dijual walaupun, harganya mencecah RM18 sekilogram. Orang seperti ini mempunyai pemikiran yang singkat. Pedang beri contoh mudah, sebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa dan empat anak dulunya mampu membeli enam ekor ikan, tapi akibat ekonomi yang teruk, mereka hanya mampu makan tiga ekor ikan sahaja sehari.

Ketika menulis dalam sebuah akhbar tempatan, Dr Iskandar Hasan mengatakan bahawa dari sudut ekonomi, pendapatan kerajaan daripada hasil minyak dan gas adalah sebanyak 31 peratus dan ini merupakan pendapatan tidak tetap. Ini disebabkan penggunaan teknologi elektrik ke atas kenderaan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara-negara maju.

Katanya lagi:

“Maka, penurunan pendapatan kerajaan daripada minyak dan gas tidak dapat dielakkan. Jangkaan hasil kerajaan akan berkurangan sekitar RM30 bilion merupakan satu jumlah yang besar perlu diganti bagi mengurangkan defisit bajet.

“Penurunan pendapatan kerajaan juga memberi kesan kepada kredit negara. Jika ini berlaku, badan-badan pengabsahan terkemuka di peringkat antarabangsa seperti Standard and Poor’s Ratings, Moody’s dan kumpulan Fitch Ratings akan menurunkan taraf rating kredit negara.

“Ini menyebabkan kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, perumahan, perniagaan dan sebagainya akan melonjak naik. Situasi ini akan menjauhkan para pelabur untuk datang membuat pelaburan.

“Andai tidak melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal kerajaan akan mencatat defisit sebanyak RM11 bilion setahun, seterusnya melonjakkan defisit negara dari 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada tahun pertama atau lebih tinggi lagi dalam tahun pertama bajet tersebut.

“Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar gaji penjawat awam. Jika hal ini terjadi, pembekuan kenaikan gaji tahunan dan lain-lain elaun akan dihentikan termasuklah bonus. Kerajaan juga akan membekukan pengambilan baharu penjawat awam dan mungkin terpaksa mengurangkan yang sedia ada.”

Yang menarik perhatian Pedang ialah:

“Persediaan untuk menghadapi kemelut menstabilkan pendapatan kerajaan ini perlu ada alternatif lain. Mahu tidak mahu perlaksanaan GST dan cukai pelancongan ini amat penting dalam mengurangkan defisit kerajaan.

“Penjanaan GST telah memberi pulangan sebanyak RM39 bilion setahun kepada kerajaan. Defisit kerajaan hari ini berlaku kerana disebabkan projek mega pembangunan yang dilaksanakan sejak 1990 dan krisis serangan mata wang pada tahun 1997.”

Dan, dalam menutup tulisannya itu, Dr Iskandar Hasan berkata: “Inilah dinamakan tindakan positif dalam pembangunan negara.” Pedang kata ini adalah tindakan sebuah kerajaan yang sudah hilang punca atau hilang akal untuk mencari sumber baharu pendapatan negara.

Jika apa yang ditulis oleh beliau ini semuanya benar, maka Pedang membuat andaian bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai alternatif untuk mencari atau menambah sumber pendapatan baharu, kecuali mengharapkan pertolongan rakyat atau dengan menambah tekanan rakyat.

Kerajaan hanya mengharapkan perolehan daripada sumber yang lama, seperti minyak, pelancongan dan cukai pendapatan, untuk menjana pentadbiran – tidak berusaha mencari sumber lain untuk menampung kekurangan. Yang nampak ialah mengenakan lagi cukai terhadap rakyat, lalu diperkenalkan GST.

GST yang dikumpul digunakan untuk membayar gaji kakitangan dan perbelanjaan lain, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang tak seberapa yang diperkenalkan atas nama kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pelaburan berbilion-bilion ringgit yang masuk, khususnya dari China, bukan memberi sumber pendapatan tetap yang baharu kepada kerajaan. Yang jelas, kerajaan sekarang tidak mampu mencari sumber baharu yang boleh menjadi pendapatan tetap menampung perbelanjaan negara.

Kata Pedang: Sasaran kumpul GST tahun ini RM40 bilion hingga RM42 bilion. Siapa yang akan bayar? RAKYAT.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Masuk kampung baru tahu beban GST, ekonomi merosot appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Masuk kampung baru tahu beban GST, ekonomi merosot
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Masuk kampung baru tahu beban GST, ekonomi merosot"

Back To Top