Gema Semua Maklumat

Jadikan air tanah sumber air utama

Jadikan air tanah sumber air utama

RAMAI yang tidak mengetahui bahawa sumber bekalan air bersih dunia datang dari glasier (69%), air tanah (31%) dan air permukaan seperti tasik, sungai dan kolam tadahan (0.3%). Namun begitu, hampir keseluruhan rakyat Malaysia bergantung sepenuhnya kepada air permukaan sebagai sumber air bersih utama untuk kegunaan seharian.

Masalah air permukaan

Saban tahun ada sahaja berita yang kita dengar berkaitan isu air; catuan air, air empangan tercemar, paras air empangan menyusut dan sebagainya, walaupun tegara kita mempunyai iklim khatulistiwa yang menerima hujan yang banyak sepanjang tahun.

Ini belum lagi system perpaipan lama yang berkarat, bocor sana sini dan tidak mampu menampung jumlah perumahan yang semakin meningkat saban tahun.

Makna kata, kita terlalu bergantung kepada sumber air permukaan kerana telah tersedia kepada kita melalui saluran paip yang dibekalkan oleh syarikat air.

Adakah air permukaan satu-satunya sumber air bersih yang boleh kita guna? Jawapannya tentulah tidak!

Air tanah dan pengekstrakannya

Air tanah atau “underground water” ialah air yang mengalir dan tersimpan di celah-celah rekahan batuan bawah tanah pada kedalaman minima kira-kira 150 meter.

Air tanah diekstrak daripada telaga yang dibina. Telaga yang dimaksudkan bukanlah telaga biasa yang kita jumpa di kampung-kampung. Telaga kampung yang juga dipanggil telaga kok dan telaga kerek ini hakikatnya masih menggunakan air permukaan yang terdedah kepada ancaman pencemaran dan kering apabila kemarau.

Pengorekan telaga air tanah (biasanya dipanggil telaga tiub) yang sebegitu dalam hanya boleh dibuat menggunakan mesin gerudi tanah. Setelah gerudi memasuki lapisan batuan tidak telap air iaitu sekitar 30 hingga 50 meter, penggerudian diteruskan dan punca air tanah (confined aquifer) dari lapisan tertentu dikenalpasti sehingga kedalaman yang optima.

Seterusnya, salur paip PVC bersaiz 5 atau 8 inci dimasukkan dan hanya dilubangkan pada kedalaman lapisan air tanah yang dikenalpasti. Secara purata 5 lapisan punca air tanah diperlukan dalam satu-satu pengorekan telaga air tanah, ataupun dengan mengira kadar luahan air tanah yang keluar ketika operasi pengorekan dilaksanakan.

Lapisan tanah dan air permukaan iaitu purata 50 meter ke atas ditutup (seal) supaya air tanah yang akan diekstrak nanti tidak tercemar dengan air permukaan.

Setelah telaga siap dibina, ujian am seperti kandungan kimia terutamanya besi dan sulfur perlu dibuat selain ujian kadar luahan air dan kadar pengembalian. Sistem takungan, penapisan dan rawatan air juga perlu dibina bergantung kepada kualiti dan kadar luahan air yang diperoleh serta kadar penggunaannya nanti.

Purata kadar luahan air tanah ialah kira-kira 5,000 hingga 8,000 gelen sejam.

Amat jarang untuk air tanah ini memancut keluar sendiri sepanjang masa. Pam selam perlu dimasukkan ke dalamnya.

Air tanah masa kini, siapa yang guna?

Air tanah pada masa sekarang digunakan oleh syarikat-syarikat pembuatan air mineral. Air ini terus diekstrak dan dibotolkan sebelum dijual kepada kita.

Ada juga institusi sekolah dan kawasan pertanian yang menggunakan air tanah ini secara domestik tetapi tidak banyak.

Kesimpulan dan saranan

Air tanah bukanlah sumber air alternatif, tetapi sepatutnya dijadikan sebagai sumber air utama kerana kebersihan dan keasliannya berbanding air permukaan. Air tanah perlu diekstrak secara domestik atau industri supaya kesinambungannya berterusan.

Mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan sumber air tanah untuk kita rasanya bukannya mengambil masa setahun dua. Individu atau pihak persendirian boleh membina telaga air tanah ini dan mengekstraknya untuk kegunaan persendirian atau setempat mengikut peraturan sedia ada yang dikawal oleh agensi kerajaan berkaitan.

Pihak kerajaan boleh mengambil pendekatan membina telaga air tanah ini di sekolah-sekolah, institusi pendidikan dan kompleks kerajaan sebagai langkah awal dalam mengarus perdanakan penggunaan sumber nadi kehidupan ini.

Abu Fasihah
Geosaintis Malaysia

 

The post Jadikan air tanah sumber air utama appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jadikan air tanah sumber air utama
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Jadikan air tanah sumber air utama"

Back To Top