Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu Bahasa
Catatan pengkaji
Kalau kita kaji catatan pengkaji Bahasa Melayu, kita akan dapati bahawa asal usul Bahasa Melayu bukan sahaja berkait rapat dengan asal usul Bangsa Melayu tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di alam ini. Rujuk sini.
Antara catatan pengkaji ialah terdapat catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo- lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644 – 645 Masihi. Dikatakan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada Raja China.
Pendapat lain pula mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iatu Sungai Melayu. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I- Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi. Sementara itu, didapati dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Asal usul bangsa Melayu
Asal usul Bangsa Melayu pula boleh dijejak daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Mereka berhijrah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Keturunan mereka sekarang adalah Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua pula dikenali sebagai Melayu Deutro. Mereka berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam iaitu kira-kira 1,500 Sebelum Masihi. Keturunan mereka ialah orang Melayu di Malaysia. Mereka disebut sebagai lebih bijak dan lebih mahir daripada Melayu Proto. Antara bidang yang mereka mahir ialah bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Bilangan mereka lebih ramai daripada Melayu Proto. Mereka didapati menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
Prof Dr Nik Safiah Karim, Profesor Pengajian Melayu di Universiti Malaya, seorang yang gigih memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China.
Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang daripada Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia boleh bertutur dalam bahasa Melayu termasuk Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka sehingga Afrika Selatan dan Pulau Christmas. Malah di China terdapat radio dalam bahasa Melayu.
Pada masa kini, Prof Dr Kang Kyoung Seok dari University of Foreign Studies, Korea Selatan, yang telah belajar bahasa Melayu dan jawi di Universiti Malaya, merupakan satu-satunya warga Korea Selatan diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pakar tulisan jawi. Beliau kini dalam usaha membangunkan papan kekunci khusus untuk kegunaan tulisan jawi.
Menurut sejarah, selepas Perang Dunia Kedua, British mengubah dasar menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam semua sistem pendidikan. Ini telah berubah apabila Malaysia mencapai kemerdekaan.
Menjelang kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan telah dirangka berdasarkan nasihat Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dan meminta pendapat pelbagai pihak pada tahun 1956. Perlembagaan ini berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Menurut Perkara 152 dalam Perlembagaan, Bahasa Melayu ditetapkan sebagai Bahasa kebangsaan. Bahasa tersebut merupakan lambang jati diri negara dan kewarganegaraan, bukti kedaulatannya yang membolehkan sesebuah negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara berdaulat yang lain.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Selain itu, dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 juga menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Kemerosotan Bahasa Melayu
Malangnya, apa yang berlaku sekarang, pencemaran dan penghakisan Bahasa Melayu berlaku di kalangan rakyat Malaysia terutama remaja dan belia Melayu di mana semua perkataan disingkatkan dan perkataan yang tiada dalam kamus atau perbendaharaan kata diwujudkan. Saya kerap mendengar rungutan guru-guru sekolah yang mengatakan terdapatnya pelajar-pelajar yang menggunakan perkataan-perkataan yang dibualkan dalam penulisan karangan-karangan malah dalam peperiksaan SPM pun. Sedangkan, orang luar negara pun memandang tinggi terhadap Bahasa Melayu.
Menurut sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, “Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di Levent.”
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa didapati berkaitan dengan kurang sensitifnya sebahagian anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. (Utusan Malaysia 5/3/2006)
Tambahan pula, ramai generasi muda sekarang semakin kendur semangat cintakan dan hormati Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan asas percakapan kerana merasakan ia ketinggalan zaman dan mungkin ditertawakan oleh kawan-kawan. Di samping itu, penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard).
Gambaran masa kini mengenai kedudukan bahasa Melayu menunjukkan semakin menurunnya penggunaan Bahasa Melayu di kalangan anggota masyarakat, terutama yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmiah.
Keadaan ini boleh dilihat pada beberapa perkara berikut:
1.Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.
2. Sekarang ini, heboh diperkatakan tentang KKM memberi kelonggaran syarat lulus BM SPM dalam pengambilan pegawai perubatan ke jawatan tetap, di mana ramai yang membantahnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan martabat Bahasa Melayu dan mutu perkhidmatan perubatan.
3. Lemahnya penguatkuasaan dan tindakan pihak berkuasa dalam kewajipan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan alat-alat media penyiaran.
4. Bahasa Melayu telah dipinggirkan dalam sistem pendidikan dalam tahun 2007 apabila agenda Wawasan 2020 diperkenalkan. Sekolah vernakular dan sekolah-sekolah Cina bebas pula menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan pengajaran Bahasa Melayu tidak dijadikan subjek wajib. Unified Certificate Examination (UEC) akan disaran oleh Dong Zong untuk diiktiraf sebagai cukup syarat kemasukan ke Universiti dan kolej kerajaan.
5. Era Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
6. Menurut laporan The Star pada Januari 2004, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Kenyataan ini merendahkan martabat dan pentingnya Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi dan Bahasa kebangsaan. Ada juga yang menyelar pejuang Bahasa dan bangsa sebagai jumud dan ketinggalan zaman.
Langkah-langkah pencegahan kemerosotan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan telah berperanan sebagai penyatu kaum dan bangsa rakyat Malaysia semenjak dahulu kala apabila ia menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa perundangan dan bahasa komunikasi. Tetapi, semenjak negara menuju peradaban moden dan teknologi tinggi, penggunaan Bahasa Melayu semakin terhakis.
Oleh itu, perlu ada usaha-usaha daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu di dalam agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, badan-badan korporat, sekolah-sekolah, institut pengajian tinggi malah dalam perbualan seharian kita juga. Antara yang dicadangkan ialah kekalkan syarat kredit BM SPM untuk semua lantikan perjawatan tanpa mengira kontrak, sementara atau tetap; diwajibkan subjek Bahasa Melayu di semua sekolah vernakular, perkasakan Dasar Pendidikan Negara, serta kuatkuasakan undang-undang penggunaan Bahasa Melayu di tempat awam, di papan iklan dan di media penyiaran.
Dikhuatiri bahawa dengan musnahnya Bahasa Melayu, bangsa Melayu pun akan lenyap seperti yang biasa dilakukan oleh penjajah sesebuah negara dalam proses asimilasi mereka supaya rakyat yang dijajah terhapus identiti dan jati diri melalui pelupusan agama, bahasa dan budaya mereka.
Adalah diharapkan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang meluas dan bermutu tinggi, rakyat Malaysia boleh berdiri, berfikir dan lebih bertamadun dalam mengorak langkah membina Negara yang berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang telah membangun lain.
“Bahasa jiwa bangsa, musnah Bahasa punahlah bangsa”
Dr Norzila Baharin
Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
The post Kembalikan Martabat Bahasa Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kembalikan Martabat Bahasa Melayu
0 Komentar untuk "Kembalikan Martabat Bahasa Melayu"