PUTRAJAYA, 17 Syawal 1438H, Selasa – Kementerian Kesihatan terbuka untuk mengadakan perbincangan dan memberi keterangan kepada keluarga pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Mohd Gaddafi, yang menolak laporan penuh bedah siasat kematiannya yang diumum, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ia terpulang kepada keluarga Allahyarham untuk melantik peguam berhubung perkara itu, namun menegaskan kes dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang.
“Jika mereka mahu datang berbincang dengan doktor kementerian, kita terbuka untuk berbincang dan memberi keterangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata, laporan bedah siasat mendapati kematian Mohamad Thaqif adalah disebabkan penyakit kencing tikus dan bukannya akibat kecederaan lain.
Susulan pengumuman itu, keluarga Allahyarham dilaporkan menolak hasil laporan penuh bedah siasat berkenaan dan memutuskan melantik peguam bagi menguruskan kes itu.
Ibu Allahyarham, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, beliau terkilan apabila keluarganya tidak dimaklumkan mengenai laporan bedah siasat berkenaan, sebaliknya mengetahui menerusi laporan media.
“Saya terkilan kerana keluarga tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya dan saya juga sudah menghubungi peguam petang tadi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan mengenai laporan bedah siasat berkenaan,” katanya.
Mengulas perkara itu, Dr Subramaniam berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk memaklumkan hasil laporan penuh bedah siasat Mohamad Thaqif kepada keluarganya.
“Semua penemuan kita diberikan kepada polis dan terserah kepada mereka untuk memaklumkan kepada keluarga kerana ia bukan situasi normal.
“Jika situasi normal, kita yang akan beritahu. “Polis boleh memaklumkan kepada keluarga kalau mereka berpuas hati maklumat yang diberi tidak mengancam siasatan atau pendakwaan selepas itu,” katanya.
The post Kementerian sedia bincang, beri keterangan kepada keluarga Thaqif appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kementerian sedia bincang, beri keterangan kepada keluarga Thaqif
0 Komentar untuk "Kementerian sedia bincang, beri keterangan kepada keluarga Thaqif"