SAYA tertarik dengan satu wawancara seorang calon bebas bagi pilihan raya umum 2008 dan calon itu ditanya apakah isu utama yang menjadi fokusnya ketika berkempen.
Calon bukan Melayu itu menjawab, isu agama dan kaum menjadi keutamaannya kerana dia melihat isu ini tidak pernah selesai dan bersambung-sambung dan bertali arus.
Hari ini, hampir sedekad berlalu, isu agama dan kaum ini dilihat tidak pernah selesai dan keadaan ini membuktikan apa sebenarnya?
Masalah hanya akan dianggap sebagai masalah jika seseorang itu menganggapnya sebagai masalah. Bagi mereka yang tidak merasakan ia sebagai masalah, maka ia bukan masalah.
Mengiktiraf sesuatu perkara sebagai masalah atau penyakit adalah ubat pertama bagi menyelesaikan masalah dan penyakit itu.
Persoalannya, adakah isu-isu agama dan kaum di negara ini merupakan masalah yang perlu diatasi? Adakah kita bersepakat mengatakan ia sebagai masalah?
Saya bersetuju dengan calon bebas itu tadi yang mengatakan isu agama dan kaum adalah satu masalah yang perlu diselesaikan. Masalah negara yang kerap dibincangkan dalam media dan media sosial.
Cuma, setakat manakah kritikalnya isu ini?
Sebagai orang Islam dan Melayu yang meneliti satu persatu isu dan realiti, masalah ini memang kritikal tetapi tidak disedari oleh ramai pihak termasuk kerajaan pemerintah. Boleh jadi kerajaan sedar ia di tahap kritikal tetapi tidak bersungguh-sungguh menyelesaikannya.
Skop perbincangan isu agama dan kaum ini sebenarnya adalah terlalu luas tetapi saya akan mengupaskannya sedikit sahaja dalam penulisan ini.
Contohnya, pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff mengenai agenda kristianisasi yang terang-terangan ditulis oleh pemimpin rasis dan cauvinis DAP, Hannah Yeoh dalam bukunya.
Dr Kamarul memberitahu, dalam buku ‘Becoming Hannah‘, Hannah mengaku keterlibatannya dalam politik adalah dengan bantuan pihak Kristian dan dengan jelas Hannah menyeru penganut agama Kristian mengikut jejak langkahnya menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.
Apa? Membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian?
Pendedahan ini amat kritikal dan perlu diberi perhatian serius. Usaha menegakkan agama Kristian di negara Islam Malaysia ini, sepatutnya dihalang dengan tegas oleh pihak berkuasa.
Jika JAIS bertegas dalam isu menyampaikan kuliah tanpa tauliah di masjid dan surau dan menganggapnya isu penting, isu ini hakikatnya lebih besar daripada itu.
Beginilah betapa kritikal dan seriusnya masalah agama yang saya maksudkan. Bagi mereka yang tidak menganggap pendedahan ini sebagai masalah, maka ini satu lagi masalah lain. Sama ada mereka bersikap ignorance, naif atau terlampau rahmah dan terlalu bersangka baik dengan agama lain. Implikasi kepada masalah ini adalah terlalu besar kerana ia mencabar status quo.
Kes ini sudah menjadi kes polis hasil laporan kedua-dua belah pihak dan ia masih dalam siasatan.
Apa yang ditulis Hannah membawa maksud mencabar kedudukan Islam dan ia perlu dipandang sebagai suatu yang amat kritikal dan serius. Keadaan ini tidak jauh beza dengan status quo rakyat Palestin di bumi Palestin, yang kini dinafikan oleh penjajah Zionis Israel.
Ramai kenalan Palestin yang saya kenal sehingga kini menolak cadangan penyelesaian dua negara (two-state solution) bagi menamatkan krisis Palestin-Israel kerana hak sebenar tanah itu adalah pada rakyat Palestin. Israel ditubuhkan secara haram pada 1948 selepas mereka merampas tanah dan menghalau umat Islam.
Di Malaysia, semua agama termasuk Kristian bebas diamalkan dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan wajib dihormati. Agenda ‘membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian’ adalah satu agenda yang ofensif dan wajarlah umat Islam menentang agenda seumpama ini.
Ini baru satu contoh, ada banyak lagi contoh lain.
Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net
The post Masalah agama dan kaum di Malaysia, kritikal atau tidak? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Masalah agama dan kaum di Malaysia, kritikal atau tidak?
0 Komentar untuk "Masalah agama dan kaum di Malaysia, kritikal atau tidak?"