Gema Semua Maklumat

Pengetua meninggal dalam kereta depan asrama sekolah

Pengetua meninggal dalam kereta depan asrama sekolah

TELUK INTAN, 11 Syawal 1438H, Rabu – Pengetua Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti), Hamzani Suien ditemui tidak sedarkan diri di dalam keretanya dan disahkan meninggal dunia di hadapan Asrama Putera Semesti, awal pagi semalam.

Hamzani dilaporkan ditemui oleh pengawal keselamatan sekolah berkenaan kira-kira pada pukul 5 pagi.

Isteri kepada arwah Rusnani Abdul Razak, 44, berkata, pemergian suaminya begitu mengejutkan kerana mereka baharu sahaja pulang daripada bercuti hari raya di Meru, Selangor dan kampungnya di Terengganu.

Beliau berkata, dia dimaklumkan bahawa suaminya ke sekolah untuk membuat rondaan pada pukul 3 pagi dan sempat berbual-bual dengan pengawal keselamatan yang sedang bertugas.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah awal pagi semalam ketika dia ingin pulang ke Teluk Intan bagi memulakan kerja selepas tamat bercuti hari raya bersama kami sekeluarga.

“Ketika itu arwah suami bersikap seperti biasa dan saya sempat menyediakan juadah untuknya bersahur kerana dia berpuasa enam,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI), tengah hari tadi.

Menurut Rusnani, dia pada mulanya menerima panggilan telefon daripada Penolong Kanan Semesti mengatakan suaminya pengsan di dalam kereta lalu dia bersama abang iparnya bergegas ke Teluk Intan.

“Ketika dalam perjalanan ke Teluk Intan, saya menerima panggilan daripada bekas majikan suami saya dahulu memaklumkan bahawa arwah sudah pergi meninggalkan kami semua.

“Saya terlalu sedih ketika itu lalu memberi telefon kepada abang ipar untuk bercakap dengan penolong kanan sekolah yang memaklumkan arwah di bawa ke HTI untuk bedah siasat,” katanya.

The post Pengetua meninggal dalam kereta depan asrama sekolah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pengetua meninggal dalam kereta depan asrama sekolah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Pengetua meninggal dalam kereta depan asrama sekolah"

Back To Top