ALOR SETAR, 18 Syawal 1438H, Rabu – Semua penjawat awam termasuk guru diminta membayar zakat menerusi kaedah potongan gaji melalui agensi atau jabatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman berkata, kaedah itu secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada institusi tempat mereka berkhidmat, berbanding membayar zakat secara bersendirian.
“Semalam kami ada dedahkan sebanyak 44 peratus kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta guru di negeri ini gagal membayar zakat.
“Hasil perjumpaan dengan JPN, kita dapati majoriti daripada peratusan ini membayar zakat secara sendirian di kaunter-kaunter zakat di daerah masing-masing,” katanya, pada sidang media, selepas Majlis Menandatangani IBR LZNK bersama SPRM Kedah.
Beliau turut menegaskan data yang didedahkan oleh pihaknya, semalam adalah berdasarkan rekod kutipan mereka.
“Apabila saya umumkan 44 peratus warga pendidik di seluruh Kedah belum menjelaskan zakat kepada LZNK bukan maksudnya mereka tidak bayar zakat tetapi tiada dalam rekod bayaran daripada agensi mereka berkhidmat,” katanya.
Sehubungan itu, Zakaria menyarankan semua penjawat awam termasuk guru supaya membayar zakat melalui kaedah potongan gaji yang disediakan di tempat kerja.
“Sekiranya penjawat awam membayar zakat melalui institusi mereka, sebahagian daripada bayaran akan dipulangkan untuk manfaat agensi itu,” katanya.
The post Penjawat awam diminta bayar zakat melalui potongan gaji appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penjawat awam diminta bayar zakat melalui potongan gaji
0 Komentar untuk "Penjawat awam diminta bayar zakat melalui potongan gaji"