BANGI, 18 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan satu jawatankuasa khas peringkat kebangsaan bagi membincang usaha-usaha memperkasakan Mahkamah Syariah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, penubuhan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) itu dibentuk susulan arahan daripada Kabinet pada mesyuaratnya 4 Ogos lalu.
“Jakim yang diberi mandat untuk mengurusetiakan JKMMS ini bertanggungjawab melaksanakan cadangan yang terkandung dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Yusod Noor, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1987 hingga 1990.
“Pemilihan Yusuf sebagai pengerusi adalah atas dasar pengalaman dan ketokohan beliau yang meluas dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh tokoh negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam kluster di bawah JKMMS.
Kluster itu ialah Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah; Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355]; Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah; Latihan Hakim & Pegawai Syariah; Pendidikan Undang-undang Syariah dan Hal-ehwal berkaitan Peguam Syarie.
“Keahlian ahli jawatankuasa berkenaan telah dikenal pasti dan pelantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.
The post Jakim bentuk jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jakim bentuk jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah
0 Komentar untuk "Jakim bentuk jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah"