Gema Semua Maklumat

Najib punca bangsa Melayu jadi buruk bukan saya, kata Tun Dr Mahathir

Najib punca bangsa Melayu jadi buruk bukan saya, kata Tun Dr Mahathir

UMNO sudah rosak binasa, bukan lagi parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara

BANGI, 11 Zulkaedah 1438H, Jumaat – “Apakah saya memburukkan (keadaan) orang Melayu? Saya tolong orang Melayu. Yang memburukkan orang Melayu ialah Najib. Tiba-tiba orang Melayu yang dikenali dari Malaysia yang membangun dengan pesat sekarang ini dikenali (di)seluruh dunia sebagai negara yang dipimpin pemimpin yang ada kontroversi.”

Demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kedudukan bangsa Melayu sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menegaskan bahawa kedudukan bangsa Melayu sekarang lebih buruk daripada sebelum ini, bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu berkata, keadaan itu berlaku kerana Malaysia mendapat pemimpin berketurunan Bugis yang mengaku Melayu.

“Siapa yang buat buruk bagi orang Melayu, saya atau dia? Jadi lebih buruk kerana dapat pemimpin keturunan Bugis tetapi mengaku dia Melayu. Orang ini mengaku dia kena guna duit, cash is king.

“Yang jadi buruk kepada orang Melayu pasal ada pemimpin macam inilah,” katanya dalam temu bual dengan sebuah portal yang disiarkan, hari ini.

Beliau turut mengimbau kejayaan pentadbirannya meningkatkan jumlah profesional seperti doktor, jurutera, pengurus dan usahawan dalam kalangan orang Melayu.

“Bagi saya, jaya ataupun tidaknya seseorang, satu kelompok, satu bangsa bergantung kepada budaya iaitu pegangannya kepada nilai hidup. Kalau dia itu utamakan kerja kuat, rajin, dia boleh berjaya. Kalau dia (bersikap) tak apalah, ambil mudah, tak apalah boleh buat esok, dia akan gagal,” katanya.

Menegaskan bahawa beliau tetap tidak akan kembali kepada UMNO, Tun Dr Mahathir berkata, parti itu sudah rosak binasa, selain lebih mengutamakan kepentingan diri untuk kekayaan, terbabit dalam rasuah dan tidak berprinsip.

“Ini bukan parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Ia berjuang untuk kepentingan diri. Saya tidak boleh jadi ahli dalam parti yang semacam ini. Namanya Umno tetapi prinsip dan perjuangan Umno sudah tidak ada sama sekali. Cuma yang ada dalam Umno sekarang ini orang yang hendak cari makan… lebih daripada makanlah.

“Semasa saya jadi perdana menteri ramai juga yang datang jumpa saya dan kata “saya sudah 15 tahun dalam Umno (tapi) tak dapat apa pun”. Saya terangkan you dapat. Anak you dapat scholarship, pergi sekolah, masuk universiti. Jalan kampung ada tar. Kampung semua ada air, ada api, ada sekolah, ada klinik. Tapi dia kata dia tak dapat (untuk dirinya) sendiri. Dia hendak duit.

“Inilah pemimpin Umno sekarang ini. Dia bukan berjuang untuk bangsa, untuk agama, untuk negara… tidak. (Dia berjuang) untuk aku dapat duit,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, perjuangannya adalah untuk negara dan menyertai parti lawan apabila melihat mereka berjuang untuk negara, tidak seperti UMNO sekarang.

“Parti Umno sekarang ni berjuang untuk Najib (Razak) sahaja, tak peduli cara apa. Najib curi duit pun tak apa. Mereka masih lagi sokong. Sebab itu saya tak boleh sokong Umno.

“Dari segi prinsip perjuangan saya, sama. Iaitu saya berjuang untuk negara. Kalau saya dapati parti lawan lebih tumpu kepada negara saya sokong parti lawan,” katanya.

Dalam temu bual itu beliau memberi jaminan jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, keluhuran undang-undang akan ditegakkan semula.

Ini termasuk pelan mengembalikan kebebasan badan kehakiman dan menjalankan perubahan yang akan membawa kepada mekanisme semak dan imbang yang lebih wajar dalam tiga cabang kerajaan.

“Ya, kita mempunyai idea bagaimana untuk memperbaiki semak dan imbang. Contohnya, terdapat pengasingan kuasa di antara legislatif dan eksekutif, legislatif dan kehakiman,” katanya.

The post Najib punca bangsa Melayu jadi buruk bukan saya, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Najib punca bangsa Melayu jadi buruk bukan saya, kata Tun Dr Mahathir
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Najib punca bangsa Melayu jadi buruk bukan saya, kata Tun Dr Mahathir"

Back To Top