SERDANG, 10 Zulkaedah 1438H, Khamis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemandu perkhidmatan kongsi kereta Uber dan Grabcar akan diwajibkan mengambil insurans untuk penumpang sebaik sahaja undang-undang perkhidmatan e-hailing dikuatkuasakan dalam tempoh setahun ini.
Katanya, ia antara syarat lain bagi perkhidmatan itu seperti syarat minimum usia kenderaan, perlu menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan ujian pemeriksaan kesihatan pemandu.
“Kerajaan sedang memperhalusi syarat yang akan dikenakan kepada pemandu Uber dan Grabcar apabila undang-undang dilaksanakan nanti boleh dipatuhi.
“Setakat ini, sudah banyak syarat yang dibincangkan bersama dipersetujui pemandu Uber dan Grabcar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD),” katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk memperhalusi syarat itu dengan SPAD dan pemandu Uber dan GrabCar, semalam.
“Ada pemandu minta supaya kenderaan berusia lebih tujuh tahun menjalani pemeriksaan PUSPAKOM dan pembiayaan bayaran pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Kerajaan sedang mempertimbangkan keputusan untuk perkara itu. Apa yang penting, keselamatan pemandu dan penumpang menjadi keutamaan,” katanya.
The post Pemandu Uber, GrabCar akan diwajibkan ambil insurans penumpang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pemandu Uber, GrabCar akan diwajibkan ambil insurans penumpang
0 Komentar untuk "Pemandu Uber, GrabCar akan diwajibkan ambil insurans penumpang"