Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 9 Zulkaedah 1438H, Rabu – Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keghairahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk merebut jawatan Perdana Menteri, tidak mengejutkan Datuk Seri Najib Razak, kerana hal itu sudah lama diketahui.
Malah, pendedahan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga tidak mendorong Najib bertindak terburu-buru dalam mengambil tindakan tegas berikutan keadaan meruncing dalam UMNO ketika ini, yang memerlukan kepada perpaduan ahli dan sokongan rakyat, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengimbas pertemuannya dengan Zahid di mana Timbalan Perdana Menteri itu meminta sokongan dan simpatinya untuk menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.
Menerusi klip video yang dimuat naik dalam laman Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tanpa menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, Zahid sepatutnya ingat apa yang berlaku ketika pertemuan berkenaan.
“Saya memberitahu Zahid perkara sebenar, jika Najib meletak jawatan, yang tidak mungkn berlaku, Zahid tetap kena tunggu UMNO memutuskan siapa yang sepatutnya menggantikan Najib,” kata Tun Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Zainudin berkata, keadaan itu bukan bermakna Najib tidak akan bertindak, sebaliknya lebih mengambil pendekatan berhati-hati sebagaimana bapanya, Tun Abdul Razak.
“Pendedahan Tun Mahathir terhadap keghairahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk merebut jawatan Perdana Menteri, tidak akan mendorongkan Datuk Seri Najib untuk bertindak terburu-buru kerana beliau telah pun menyimpan rahsia ini lama sebelum pendedahan itu.
“Melihat risiko inilah maka beliau melantik Zahid Hamidi, Naib Presidennya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, supaya mudah dikawal dan bila perkembangan politik merebakkan api dalam sekam, beliau segera memperkuatkan pertahanannya dengan melantik sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
“Orang ramai, ahli parti dan Zahid sendiri dapat membaca dengan mudah signal yang dihantar oleh Najib,” kata bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia itu dalam blog beliau semalam.
Zainudin atau lebih dikenali sebagai Zam berkata, Zahid bukanlah seorang pejuang yang mementingkan rakyat, sebaliknya lebih mengutamakan kedudukan, yang turut diamalkan Najib, untuk terus bertahan dengan kebijaksanaannya mengambil kesempatan.
Katanya, kedua-dua pemimpin itu – Zahid dan Najib – mendukung nilai politik yang sama, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir yang lebih berani mengambil risiko dalam keadaan tercabar.
“Sekarang Zahid dan Najib berkongsi falsafah politik yang sama dalam krisis politik terpendam antara mereka kerana menyedari hakikat tidak mempunyai sokongan rakyat di luar parti, berbanding dengan Mahathir dan Anwar apabila dalam ‘berperang’, masing-masing percaya tidak sahaja kepada adanya sokongan dalam parti tetapi juga rakyat di luar parti,” katanya.
Beliau berkata, Najib berjaya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan teratur tanpa sebarang tentangan dalam parti.
Malah, beliau juga akan berjaya memotong taring Zahid meskipun membiarkannya terus berada dalam tampuk kuasa sehinggan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, katanya.
“Zahid tidak lagi akan dapat beralih untuk meminta sokongan rakyat ke arah mencapai cita-cita menjadi MO1 kerana kredibilitinya telah dicemarkan oleh Mahathir. Reaksi umum terhadap pendedahannya mengenai keturunan Mahathir sangat buruk.
“Dalam pada itu Najib tetap sedar dalam parti, Zahid lebih merbahaya dari Muhyiddin untuk menghadapi pemilihan pucuk pimpinan parti selepas pilihanraya akan datang kerana Zahid memegang undi popular parti berbanding dengan Hishammuddin Hussein.
“Permainan politik Najib Tun Abdul Razak dan juga Zahid Hamidi akan semakin menarik untuk diperhatikan dari dekat oleh rakyat,” katanya.
The post Pendedahan Tun M mengenai ghairah Zahid tak mengejutkan Najib: Zam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pendedahan Tun M mengenai ghairah Zahid tak mengejutkan Najib: Zam
0 Komentar untuk "Pendedahan Tun M mengenai ghairah Zahid tak mengejutkan Najib: Zam"