Gema Semua Maklumat

Penyokong kuat Nawaz Sharif dilantik PM baharu Pakistan

Penyokong kuat Nawaz Sharif dilantik PM baharu Pakistan

ISLAMABAD, 9 Zulkaedah 1438H, Rabu – Parlimen Pakistan melantik Shahid Khaqan Abbasi sebagai Perdana Menteri sementara negara itu, berikutan keputusan Mahkamah Agung yang memecat Nawaz Sharif, atas tuduhan berbohong mengenai kekayaannya.

Beliau yang juga penyokong kuat Nawaz Sharif dijangka memberi laluan kepada adik bekas Perdana Menteri itu, Shahbaz Sharif, yang perlu bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen bagi menduduki jawatan tertinggi Pakistan.

Shahid Khaqan adalah anggota Partai Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dipilih selepas pengundian oleh ahli Parlimen negara itu, semalam. PML-N memiliki majoriti selesa di Parlimen, manakala parti minoriti juga menyokong pelantikannya.

Speaker Dewan Rakyat Pakistan, Ayaz Sadiq mengisytiharkan Shahid Khaqan sebagai Perdana Menteri Republik Islam Pakistan yang baharu.

Shahid Khaqan dijangka mengangkat sumpah esok dan kemudian membentuk Kabinet, yang dijangka akan diwakili kebanyakannya penyokong kuat Nawaz Sharif.

Beliau dijangka memegang jawatan itu selama kira-kira dua bulan, sementara Shahbaz Sharif, sebagaimana yang diumumkan oleh Nawaz Sharif sebelum ini, akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen bagi membolehkan beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan di kubu kuat Nawaz Sharif, Lahore, di mana Shahbaz adalah Ketua Menteri sejak sembilan tahun lalu.

Isnin lalu, Nawaz Sharif disingkirkan daripada jawatannya atas alasan tidak mengisytiharkan peranannya dalam sebuah syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana beliau dibayar gaji.

Keputusan penting yang dibuat mahkamah susulan beberapa bulan perbicaraan dalam kes yang muncul berikutan kebocoran ‘Panama Papers’, yang mengaitkannya dengan dakwaan rasuah selama dua penggal menduduki kerusi Perdana Menteri.

Mahkamah Agung juga memerintahkan pihak pendakwa memfailkan tuduhan rasuah terhadap Nawaz Sharif dan tiga anaknya, Hasan, Hussain dan Maryam, serta Menteri Kewangan, Ishaq Dar. – Agensi

The post Penyokong kuat Nawaz Sharif dilantik PM baharu Pakistan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penyokong kuat Nawaz Sharif dilantik PM baharu Pakistan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Penyokong kuat Nawaz Sharif dilantik PM baharu Pakistan"

Back To Top