ALOR SETAR, 3 Muharram 1439H, Ahad – Banjir di Kedah dan Perlis dijangka pulih selepas berakhirnya fenomena air pasang besar esok, kata Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azmy Yahya.
Azmy berkata, walaupun jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat, keadaan banjir di dua negeri berkenaan semakin pulih secara perlahan-lahan.
“Hujan yang turun tanpa henti selama lapan jam sejak Khamis lalu dan ditambah pula dengan fenomena air pasang besar telah menyebabkan beberapa daerah di Kedah dan Perlis mengalami banjir.
“Walaupun hujan tidak turun sejak semalam, jumlah mangsa dipindahkan meningkat berikutan air dari hulu yang mengalir bertembung dengan air pasang yang dijangka berakhir esok,” katanya pada sidang media di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak enam pusat pemindahan masing-masing di Kedah dan Perlis telah ditutup.
“Pusat pemindahan ini tidak ditutup sepenuhnya kerana ia akan dibuka semula sekiranya perlu, tetapi sekiranya air surut dan hujan tidak turun esok mereka boleh pulang ke rumah masing-masing, ” katanya.
Sementara itu, Azmy mengingatkan ibu bapa dan orang ramai supaya lebih peka tentang keselamatan terutamanya kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Di Kedah dan Perlis jarang berlakunya banjir jadi bila jadi ramai yang seronok main air tapi kita bimbang kesan selepas itu yang boleh menyebabkan mereka jatuh sakit berikutan keadaan air banjir yang kotor.
“Kita juga bimbang kehadiran binatang berbisa seperti ular dan paling dibimbangkan akan berlakunya kejadian lemas, ” katanya.
Katanya, anggota APM sentiasa dalam keadaan bersedia untuk membantu mangsa banjir dan berharap mangsa banjir dapat menyalurkan maklumat serta berpindah ke pusat pemindahan sekiranya rumah mereka dinaiki air.
Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah sehingga pagi ini meningkat kepada 2,873 orang berbanding 2,280 orang malam tadi.
Cuaca di Kedah keseluruhannya adalah cerah setakat tengah hari ini.- Bernama
The post Banjir di Kedah, Perlis dijangka pulih berperingkat mulai esok appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Banjir di Kedah, Perlis dijangka pulih berperingkat mulai esok
0 Komentar untuk "Banjir di Kedah, Perlis dijangka pulih berperingkat mulai esok"