KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1438H, Isnin – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta firma atau orang perseorangan mengikis budaya takut disiasat atau diaudit oleh agensi penguatkuasaan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana, katanya, siasatan yang dijalankan hanyalah bertujuan untuk memastikan negara ini bebas daripada anasir sogokan serta penyalahgunaan kuasa.
“Kalau ada kes, SPRM teruskan siasatan. Kalau tiada kes, ia akan digugurkan. Bagaimanapun adakalanya, ada perbuatan sekongkol dalam sesuatu jabatan atau syarikat yang menyebabkan SPRM sukar menjalankan siasatan dan sukar membuktikan kejadian rasuah kerana wujud gejala itu daripada pengurusan tertinggi sampai ke bawah,” katanya semasa Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Justeru, beliau berkata, ekosistem sesebuah jabatan atau syarikat mesti telus supaya anasir berkenaan dapat dicegah lebih awal.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah menengaskan, suruhanjaya itu tidak akan menganiaya sesiapa semasa menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.
“SPRM bukan mencari salah orang. Kalau skandal itu bukan skandal sebenar, kita tidak akan aniaya orang. Segalanya dibuat dengan seikhlas mungkin.
“Sekarang ini kita lihat ramai yang menyarungkan ‘baju lokap SPRM’, tetapi ia bukan bagi menganiaya orang tetapi lebih kepada soal untuk membuktikan hal ehwal berkaitan rasuah,” katanya.
The post Tak perlu takut disiasat SPRM jika tak salah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tak perlu takut disiasat SPRM jika tak salah
0 Komentar untuk "Tak perlu takut disiasat SPRM jika tak salah"