Gema Semua Maklumat

UMNO gadai budi pekerti Melayu biar parti sekutu anti-Islam MCA masuk masjid

UMNO gadai budi pekerti Melayu biar parti sekutu anti-Islam MCA masuk masjid

1) UMNO Bahagian Seremban memberikan laluan luas kepada MCA Seremban, khususnya YB Senator Datuk Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan, untuk mengadakan Majlis Berbuka Puasa di masjid-masjid dalam Parlimen Seremban. Sudah tentu laluan luas itu dengan kerjasama AJK Masjid yang dikuasai ahli parti itu juga.

2) Umat Islam, sudah tentu 99% daripadanya ialah orang Melayu, dijemput hadir dan sebahagiannya turut menerima bantuan berupa beras dan barang keperluan lain.

3) Secara sepintas lalu, ia hanyalah majlis berbuka puasa, tiada apa-apa masalah. Orang datang berbelanja dan memberi sumbangan, sepatutnya kita menerima dengan tangan terbuka dan ucapan terima kasih. Orang berbudi, kita berbahasa, begitulah budi pekerti mulia orang Melayu.

4) Tetapi budi pekerti mulia itu sebenarnya telah dipergunakan oleh UMNO secara salah, sampai orang Melayu tidak lagi dihormati oleh kaum Cina di tanah warisan Melayu ini. Bukti bahawa kita sudah tidak dihormati sudah terlalu banyak, terlalu panjang jika mahu disenaraikan di sini dan akan menyebabkan fokus tulisan ini lari.

5) Seluruh orang Islam di Malaysia tahu bahawa MCA menolak pindaan Rang Undang-undang Akta 355, yang hanya menyentuh orang Islam, langsung tiada kaitan dengan bukan Islam.

6) Ayat yang lebih tepat ialah MCA menentang kehendak orang Islam untuk mendaulatkan dan memperkasakan undang-undang syariah dalam kehidupan mereka sendiri.

7) Ayat yang lebih mendalam ialah MCA campur tangan dalam urusan agama orang Islam di tanah warisan Melayu Islam ini.

8) Hanya orang yang sudah gelap hati dan tiada maruah sahaja yang mengatakan ini sekadar politik MCA memenangi hati pengundi Cina. Orang yang tidak bermaruah memang tidak kisah tentang soal maruah; diri sendiri apatah lagi maruah agama Islam.

9) UMNO sememangnya parti politik yang mengamalkan dasar pragmatisme. Pragmatisme ialah fahaman yang mengutamakan kepentingan dan keuntungan praktikal (parti), walaupun ia bercanggah dengan ideologi, prinsip dan maruah. Ayat yang lebih jelas ialah UMNO bersikap selektif dalam soal prinsip dan maruah. Jika prinsip dan maruah itu boleh menjejaskan kepentingan dan keuntungan parti, maka fahaman pragmatisme mereka menuntut agar prinsip dan maruah itu diketepikan.

10) UMNO juga adalah parti yang berpengalaman dalam melunaskan kepentingan dan keuntungan parti berasaskan fahaman pragmatik itu melalui cara yang halus, harmoni dan mesra masyarakat marhaen, walaupun kepentingan dan keuntungan parti itu jelas mengetepikan prinsip dan maruah.

11) Prinsip dan maruah yang saya maksudkan ialah kebebasan kehendak umat Islam untuk mendaulatkan undang-undang syariah, yang telah dibentak oleh MCA dan kaum Cina secara keseluruhannya.

12) Berjaya atau tidak pindaan RUU 355 itu nanti, adalah soal lain. Tetapi kebebasan kehendak umat Islam adalah soal prinsip dan maruah. Adakah umat Islam di Malaysia ini, selepas merdeka daripada penjajahan British yang telah meminggirkan undang-undang asal iaitu undang-undang syariah, telah dijajah semula oleh kaum Cina yang boleh sewenang-wenangnya menentang kebebasan kehendak kita? Dari sudut pengertian, jawapannya ialah ya.

13) Jika UMNO parti yang berpegang pada prinsip dan maruah, sepatutnya MCA tidak diberi laluan untuk menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid kita, selagi mereka tidak memohon maaf atas kebiadaban mereka campur tangan dalam urusan agama kita dan selagi mereka tidak menarik balik penentangan terhadap RUU355.

14) Bahkan, sepatutnya politik menuntut kita menggunakan kuasa tawar menawar untuk menundukkan MCA dan orang Cina, dengan memastikan tiada undi orang Islam untuk parti orang Cina. Itulah politik berprinsip dan bermaruah. Malangnya rakyat sudah dididik oleh UMNO sejak sekian lama untuk membelakangkan prinsip dan maruah, asalkan parti menang.

15) Adakah prinsip dan maruah kita semurah kos iftar di masjid? Tindakan UMNO yang diam-diam mahu orang Melayu melupakan prinsip dan maruah mereka yang tercalar adalah amat jelik dan memualkan, walaupun dihiasi dengan muka ramah mesra menjemput orang awam berbuka di masjid.

16) UMNO sejak dahulu menjaja bahawa PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik sempit. Tidakkah tindakan UMNO mengusung parti MCA di masjid-masjid itu merupakan eksploitasi agama untuk kepentingan politik sempit?

17) Jelas ibarat mentari di siang hari juga, tindakan UMNO amat menjijikkan apabila mengambil kesempatan di sebalik serangan bertubi-tubi umat Islam ke atas DAP, dengan mengusung MCA di masjid-masjid. UMNO sengaja tidak mahu faham bahawa NGO seperti ISMA dan parti seperti PAS, yang mewakili suara majoriti orang Melayu yang masih berprinsip dan bermaruah, bukan sahaja menolak DAP, bahkan tidak akan menerima MCA sebagai ganti dalam keadaan agama kita dihina saban hari dan kebebasan kehendak kita dijajah semula. Mereka bukan sahaja sengaja tidak mahu faham atas dasar pragmatisme, bahkan mereka sudah lali berbuat khianat kepada saudara seagama sendiri, asalkan parti mereka menang.

18) Dayus sangatlah kita sehingga tidak mampu membuat keputusan agar membiarkan MCA mencari sendiri pengaruh daripada kalangan pengundi Cina. Amat dayus sekali apabila kita terhegeh-hegeh mencari undi Melayu untuk mereka, sedangkan mereka tegas campur tangan dalam urusan agama kita.

19) Islam mengajar kita bahawa politik itu untuk menjaga agama. Sebaliknya UMNO mengajar orang Melayu, terutamanya ahli-ahli mereka, bahawa politik itu untuk menjaga parti dan kerusi. Kepentingan agama di sisi politik UMNO hanya apabila isu agama menguntungkan parti. Oleh sebab itu UMNO sokong pindaan RUU355, untuk meraih sokongan pengundi Melayu, tetapi dalam masa yang sama mengusung MCA yang menentang pindaan RUU355 ke merata masjid. Perlukah saya menggunakan istilah politik kemunafikan? Atau masihkah kita menggunakan istilah yang lebih lembut; politik bermuka-muka?

20) Kita semua tahu muslihat UMNO mengenai RUU355, sejak awal lagi, sebab sejarah perkenalan kita dengan UMNO ini sudah berpuluh tahun. Tetapi untuk “menelanjangkan” muslihat bermuka-muka mereka ini perlukan peristiwa semasa terpampang depan mata.

“Ambillah pengajaran wahai orang yang berakal”, pesan Allah Taala dalam kitab suci-Nya, al-Quran.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

The post UMNO gadai budi pekerti Melayu biar parti sekutu anti-Islam MCA masuk masjid appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di UMNO gadai budi pekerti Melayu biar parti sekutu anti-Islam MCA masuk masjid
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "UMNO gadai budi pekerti Melayu biar parti sekutu anti-Islam MCA masuk masjid"

Back To Top