Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 10 Zulkaedah 1438H, Khamis – PAS membantah cadangan yang dibuat Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman pada Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), berhubung penyelesaian dua negara sebagai langkah mengakhiri konflik di antara Israel dan Palestin.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan kenyataan itu sebagai membelakangkan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin yang berterusan berusaha membebaskan negara serta Masjid al Aqsa daripada penjajahan rejim zionis.
Malah katanya, kenyataan Anifah termasuk Kementerian Luar Negeri dan mewakili kerajaan Malaysia memperlihatkan pendirian tidak jelas terhadap isu Palestin dan Masjid al Aqsa menurut perspektif sejarah serta akidah Islam.
“Menyokong penyelesaian dua negara ini juga bererti memberikan pengiktirafan tidak langsung kepada kewujudan Israel sedangkan ia adalah sebuah negara haram yang ditubuhkan secara tidak bermaruah melalui pembunuhan, pencabulan hak asasi dan pelanggaran undang-undang.
“Oleh itu, PAS mendesak YB Menteri atau Kementerian Luar Negeri menarik semula kenyataan ini dan juga menggesa Kerajaan Malaysia agar menjelaskan pendirian dan sikap rasmi negara berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
0 Komentar untuk "PAS bantah cadangan kerajaan selesai isu Israel-Palestin, desak tarik balik kenyataan"