KAHERAH, 12 Jamadilawal 1439H, Isnin – Beberapa pemimpin terkenal pembangkang Mesir mengajak rakyat negara itu memboikot Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 yang dijadualkan pada Mac ini.
Calon Presiden pada 2012, Abdel Moneim Aboul Fotouh dan calon 2018 yang menarik diri selepas bimbang keselamatannya, Mohammed Anwar Sadat, dalam kenyataan bersama hari ini berkata, pilihan raya itu sudah tiada kredibiliti.
“Kami menggesa rakyat Mesir memboikot pengundian dan tidak menerima sebarang keputusan yang diumumkan nanti,” kata mereka.
Pembantu kempen Bekas Ketua Turus Staff Tentera Darat Mesir, Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan, – Hazem Hosny dan Hisham Genena – turut menandatangani kenyataan itu, lapor media tempatan.
Kelmarin, Hisham cedera diserang di hadapan rumahnya di pinggir Kaherah.
Mohammed yang juga anak saudara bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat menarik diri selepas bimbang dengan ancaman serta kempen ketika pilihan raya itu.
Manakala, Sami Anan pula ditangkap oleh pihak tentera kerana dituduh menipu dan mengisi borang pencalonan tanpa mendapat kebenaran tentera.
Pilihan raya itu dijadualkan pada 26 hingga 28 Mac ini.
Setakat ini, hanya Presiden Abdel Fattah el-Sisi yang menjadi satu-satunya calon pilihan raya itu. Pada 2013 lalu, El-Sisi mengetuai rampasan kuasa tentera menggulingkan Presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi, Mohamed Morsi. – Agensi
The post Pembangkang Mesir gesa boikot Pilihan Raya Presiden 2018 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Pembangkang Mesir gesa boikot Pilihan Raya Presiden 2018
0 Komentar untuk "Pembangkang Mesir gesa boikot Pilihan Raya Presiden 2018"