Gema Semua Maklumat

Isu Qatar: PPMM cadang Malaysia main peranan mediator

Isu Qatar: PPMM cadang Malaysia main peranan mediator

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Ramadan 1438H, Rabu – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia merayu agar umat Islam tidak terkinja-kinja menyokong sebelah pihak dan menghina sebelah pihak yang lain berhubung isu kekeruhan hubungan diplomatik Qatar dengan beberapa negara Teluk.

Sebaliknya, Presiden PPMM, Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar mendesak umat Islam dan Kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan menjadi perantara menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik berdasarkan prinsip-prinsip agama Islam.

Menurutnya, memainkan peranan sebagai perantara atau mediator ini adalah lebih mulia daripada menyokong mana-mana pihak samada betul atau salah.

“Malaysia perlu menzahirkan sikap neutral bagi menjalankan peranan sebagai perantara ini.

“Apatah lagi Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat dihormati di kalangan negara Islam dan bukan Islam.

“Sudah pasti kedudukan dan penghormatan dinikmati Malaysia ini akan memberi kelebihan kepada Malaysia memainkan peranan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, memandang serius isu ini, Zainul Rijal menyeru umat Islam secara umumnya agar menghentikan memihak mana-mana pihak.

“Adalah lebih baik berusaha mendamaikan dua saudara yang sedang bertikai atau sekurang-kurangnya berdoa agar kemelut yang dihadapi negara Islam di bulan Ramadhan ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Mendamaikan antara dua pihak yang bertikai adalah lebih baik dari memarakkan pertikaian dengan menyokong mana-mana pihak,” pesannya.

Pada masa sama, PPMM juga menyeru kumpulan negara-negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar dan Qatar sendiri berunding atas semangat Islam di bulan Ramadhan ini bagi mencari jalan penyelesaian kemelut kedua pihak ini.

PPMM juga percaya kebolehan dan kemampuan Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian ini.

“Negara-negara Islam seharusnya merapatkan saf perpaduan dan bersatu dalam segala tindakan kita.

“Negara dan umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab yang terlalu banyak untuk digalas bersama, kita sebenarnya sudah tidak mempunyai masa untuk bercakaran sesama sendiri. Kepentingan agama Islam dan persaudaraannya hendaklah diberi keutamaan,” tegasnya.

The post Isu Qatar: PPMM cadang Malaysia main peranan mediator appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isu Qatar: PPMM cadang Malaysia main peranan mediator
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Isu Qatar: PPMM cadang Malaysia main peranan mediator"

Back To Top